Skip to main content

Singapura

SAF sertai gabungan 12 negara gugurkan bantuan makanan, ubat dari udara untuk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
SAF sertai gabungan 12 negara gugurkan bantuan makanan, ubat dari udara untuk Gaza

(Gambar: Zaqy Mohamad/Facebook)

Diterbitkan : 19 Aug 2025 07:40PM Dikemas Kini : 20 Aug 2025 12:33AM
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menyertai gabungan 12 negara dalam operasi menggugurkan bekalan bantuan makanan dan perubatan dari udara, kepada para penduduk Gaza.

Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad yang berada di Jordan untuk memantau kiriman tersebut berkata operasi kemanusiaan Singapura di Gaza mencerminkan komitmen negara itu untuk berdiri secara satu padu dengan mereka yang terjejas dengan krisis kemanusiaan itu.

Beliau memberi kemas kini mengenai usaha SAF itu menerusi rakaman video.

"Sebagai sebahagian daripada gabungan 12 negara, misi ini dijalankan setiap hari dengan giliran angkatan udara kami menghantar bekalan.

"Anggota SAF dan kru RSAF memastikan setiap pakej disediakan dengan selamat, ia sampai dalam keadaan baik serta menilai risikonya kepada orang awam.

"Biasanya, setiap penurunan (operasi gugurkan bantuan) ataupun 'airdrop' mampu menghantar lebih daripada 10,000 pek makanan.

"Dan secara keseluruhan, pesawat daripada pelbagai negara bergilir-gilir menghantar bantuan.

"Sebagai sebahagian daripada gabungan ini, pesawat C-130 kita juga membawa pakej yang disumbangkan oleh negara lain dan NGO dan juga daripada rakan kongsi kita seperti Humanity Matters, CHARIS, Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

"Setelah melibatkan diri dalam beberapa misi bantuan Gaza, saya sedar akan kesukaran yang dihadapi oleh anggota SAF yang bekerja di zon konflik.

"Dan kami mahu memastikan bahawa setiap penghantaran itu berjaya. Walaupun terdapat risiko keselamatan, saya ingin memberi jaminan bahawa anggota SAF komited untuk memastikan setiap pakej mendarat dengan selamat dan sampai kepada rakyat Gaza," kata Encik Zaqy.

Ini merupakan pusingan bantuan kemanusiaan yang kesembilan yang dihantar Singapura, sejak perang Israel-Hamas tercetus pada 2023.

Bantuan kemanusiaan yang disumbangkan Singapura sejauh ini mencecah lebih S$22 juta.

Seramai 58 anggota pertahanan dan tentera terlibat dalam operasi itu, yang merupakan kali kedua Singapura menjalankan operasi mengugurkan bantuan dari udara.

Beliau turut menarik perhatian bahawa walaupun Singapura adalah sebuah negara yang kecil, ia tetap mampu membawa perubahan di dunia.

"Sebagai sebuah negara kecil, kita mungkin tidak mampu melakukan segala-galanya. Tetapi kita tetap boleh melakukan bahagian kita sebagai warganegara dunia.

"Oleh itu, Singapura telah mula berbincang dengan rakan sejawat di Mesir dan Jordan tentang bagaimana kita dapat menyumbang sokongan perubatan untuk melengkapkan usaha kemanusiaan mereka.

"Singapura berhasrat memainkan peranan sebagai warganegara dunia yang bertanggungjawab, menunjukkan bahawa kita adalah sebuah bangsa yang prihatin, satu komuniti penuh belas kasihan terhadap apa yang berlaku, baik di tanah air mahupun di luar negara," kata Encik Zaqy lanjut.
Sumber : CNA/AI/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita