SAF, RSN selesai sertai Latihan Super Garuda Shield 2022 di Indonesia bersama 13 negara
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sudah menamatkan latihan tentera berbilang pihak, berlatih bersama pasukan tentera dari Australia, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS), menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Isnin (15 Ogos).
Latihan Super Garuda Shield 2022 diadakan di Indonesia dari 1 Ogos sehingga 14 Ogos dan melibatkan aset-aset serta para kakitangan dari 13 negara.
Sehingga tahun ini, hanya Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Markas Amerika Syarikat-Indo Pasifik (INDOPACOM) menyertai latihan tahunan tersebut.
"Skop latihan yang diperluaskan" turut menyaksikan banyak negara, termasuk Singapura, menyertai atau memerhatikan latihan tersebut buat julung-julung kalinya, menurut MINDEF.
SAF turut menyertai latihan perancangan kakitangan yang akhirnya membawa kepada latihan di lapangan bersama Angkatan Tentera Australia, INDOPACOM dan TNI.
Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN) juga mengambil bahagian dalam satu siri latihan pengemudian dan komunikasi di perairan sekitar Kepulauan Riau, Batam dan Singkep, bersama dengan tiga kapal dari Tentara Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI Angkatan Laut) dan Angkatan Tentera Laut AS, menurut MINDEF.
Latihan tersebut melibatkan kapal Endurance, RSS Resolution dan kapal frigat kelas Formidable, RSS Supreme.
Brigadier Jeneral Adrian Teng, Penolong Ketua Turus Staf Am (Operasi), berkata latihan tersebut "membolehkan pasukan tentera dan angkatan bersenjata yang menyertai latihan tersebut untuk bekerjasama dan berkongsi pengetahuan, sekali gus meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara rakan".
Ia juga adalah "peluang berharga untuk berlatih bersama TNI, INDOPACOM dan negara-negara lain yang turut serta, di samping mengukuhkan lagi pertukaran profesional dan persahabatan sesama angkatan tentera kita," tambah BG Teng.
Menurut MINDEF, latihan tersebut adalah "platform penting untuk menggalak persahabatan, persefahaman bersama dan pertukaran profesional" sesama angkatan tentera yang mengambil bahagian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.