SAF lancar misi bantuan kemanusiaan & menyelamat terbesar semasa tsunami 2004
Bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), misi bantuan dan menyelamat bagi tragedi tsunami itu adalah yang terbesar pernah dijalankannya sehingga kini.
Selama dua bulan, lebih 1,200 kakitangan SAF terlibat dalam misi tersebut.
Yang pasti, banyak pengajaran ditimba daripada peristiwa tersebut.
"Ia suatu kemusnahan mutlak. Kami tidak melihat kewujudan rumah di sepanjang pesisir.
"Apa yang anda lihat adalah jambatan pecah, tanah rata yang tiada tanda bangunan kecuali masjid yang dibina dengan konkrit," kata juruterbang helikopter RSAF, LTC Frank Yap.
Walaupun bencana menimpa, seluruh dunia berganding bahu untuk menawarkan pelbagai bantuan.
SAF melancarkan Operasi Flying Eagle, iaitu operasi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana paling besar dalam sejarahnya.
Brigadier Jeneral (Bersara) Tan Chuan Jin yang menjadi ketua misi ketika itu, mengungkap detik-detik penting berhubung kuasa bekerjasama yang muncul demi menangani cabaran besar pascatsunami.
"Ini pada 2004. Maklumat sangat sedikit dari sana. Saya sampai awal untuk cuba menentukan apa perincian rancangan yang perlu ada.
"Tapi pada peringkat itu, bayangkan - terbang dan belayar masuk - ada ketidaktentuan, kebimbangan, tetapi juga rasa ada tujuan kerana kami sedar bahawa kami sangat beruntung di Singapura tidak terjejas dengan tsunami, gempa bumi.
"Tapi rakan-rakan dan jiran-jiran kami berdepan dengan kemusnahan yang sangat besar skalanya," kata BG (Bersara) Tan Chuan-Jin yang merupakan Komander Misi di Kumpulan Sokongan Bantuan Kemanusiaan Meulaboh, SAF.
Ekoran skala kemusnahan yang besar itu jugalah, penting untuk membina hubungan dan kepercayaan khususnya dengan masyarakat tempatan dan itulah yang SAF lakukan.
SAF juga mengerahkan pelbagai aset tenteranya termasuk tiga kapal muatan pendarat dan empat helikopter Super Puma bagi mengirimkan pelbagai bekalan kepada kawasan-kawasan terjejas.
LTC Frank Yap merupakan antara juruterbang helikopter yang memainkan peranan penting itu.
Beliau menekankan banyak iktibar yang dipelajari.
"Apabila perkara seperti ini berlaku, ^tiada apa persiapan mencukupi yang boleh anda lakukan semasa tempoh aman, yang boleh mempersiapkan anda bagi bencana sebesar ini.
"Hari demi hari, kami harus terus bersyukur dengan apa yang kami ada dan bersiap sedia jika berlaku sesuatu, bagaimana kami perlu bersedia - sama ada untuk menyokong orang lain atau menjaga warga kita dan negara kita sendiri," katanya.
Dr Edwin Low pula, yang memimpin pasukan perubatan darat di Indonesia, menekankan peri perlunya menyelaras pelbagai perkara agar tidak menjejas hubungan dengan negara tuan rumah Indonesia dalam usaha memberi yang terbaik kepada para mangsa dan pesakit.
Apa yang beliau lihat adalah gambaran kemanusiaan yang akan diingatinya sampai bila-bila.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.