SAF hantar bekalan bantuan kemanusiaan ke Indonesia
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menghantarkan bekalan bantuan kemanusiaan ke Indonesia pada Selasa (2 Okt) bagi membantu usaha pemulihan yang sedang dijalankan, menyusuli gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda bahagian tengah Sulawesi.
Komander Misi SAF, LTC Oh Chun Keong menyerahkan pakej bantuan kepada LTC Ali Sudibyo dari TNI di Lapangan Terbang Balikpapan, Indonesia. (Gambar: MINDEF)
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menghantarkan bekalan bantuan kemanusiaan ke Indonesia pada Selasa (2 Okt) bagi membantu usaha pemulihan yang sedang dijalankan, menyusuli gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda bahagian tengah Sulawesi.
Dua pesawat C-130 milik Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) sudahpun menghantarkan pakej bantuan kemanusiaan, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (3 Okt).
Pakej itu terdiri daripada khemah, bekalan makanan, air minum serta bekalan perubatan.
Komander Misi SAF, Leftenan Kolonel (LTC) Oh Chun Keong menyerahkan pakej berkenaan kepada LTC Ali Sudibyo dari Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Pakej bernilai S$240,000 itu diderma oleh SAF.
Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter mencetuskan ombak tsunami setinggi enam meter, yang membadai bandar Palu di bahagian pantai barat Sulawesi.
Setakat ini, seramai 1,234 orang disahkan terkorban akibat bencana alam itu, menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia.
"Sebagai negara jiran serta rakan Indonesia dan TNI, MINDEF dan SAF sentiasa bersedia untuk membantu Indonesia dan TNI dalam usaha-usaha pemulihan bencana yang lain, jika perlu," menurut kenyataan itu.
Menulis di laman Facebooknya pada Selasa (2 Okt), Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata: "Jika perlu, SAF akan melakukan lebih untuk membantu rakan-rakan kami di Indonesia bagi menghadapi bencana alam ini."
Pemerintah Singapura semalam (2 Okt) menawarkan untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan dan kakitangan ke Indonesia bagi membantu usaha pemulihan.
Pemerintah turut menyatakan bahawa ia akan mendermakan sebanyak AS$100,000 (S$137,500) bagi memulakan usaha mengumpul dana awam oleh Palang Merah Singapura, yang dilancarkan pada Isnin (1 Okt).
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sudah mengerahkan dua pegawai untuk menyertai misi selama 10 hari ke bahagian tengah Sulawesi sebagai sebahagian daripada Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN. Ia diselaraskan oleh Pusat Penyelaras ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.