Skip to main content

Singapura

SAF bina kompleks latihan menembak guna peluru hidup berhampiran stesen MRT Sungei Bedok

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang membina sebuah kompleks latihan menembak menggunakan peluru hidup dalam bangunan di kem Bedok.
Anggaran Waktu Membaca:
 SAF bina kompleks latihan menembak guna peluru hidup berhampiran stesen MRT Sungei Bedok

Askar bersedia untuk menembak sasaran di kompleks latihan tembakan peluru hidup pelbagai misi di Pasir Laba pada 25 Feb 2026. (Gambar: CNA/Justin Tan)

Diterbitkan : 27 Feb 2026 06:41PM Dikemas Kini : 27 Feb 2026 06:44PM
  • SAF membina MMRC 2 di kem Bedok untuk latihan menembak peluru hidup yang lebih canggih dan realistik bagi anggota NSmen.
  • Kompleks ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2031 dan membolehkan latihan diselesaikan dalam masa kurang dua jam.
  • Anggota NSmen boleh menempah slot latihan melalui aplikasi OneNS, memudahkan akses dengan pengangkutan awam dari stesen MRT Sungei Bedok.
  • MMRC 2 menggunakan teknologi moden seperti sistem sasaran video dan simulasi medan pertempuran, serta membantu mengoptimumkan penggunaan tanah SAF.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang membina sebuah kompleks latihan menembak menggunakan peluru hidup dalam bangunan di kem Bedok.

Kemudahan dalam bangunan bernama Kompleks Dua Latihan Tembakan Peluru Hidup Pelbagai Misi itu (MMRC 2) bantu menjimatkan masa yang diperlukan oleh anggota NSmen untuk selesaikan keperluan latihan menembak.

Apabila kompleks itu mula beroperasi sepenuhnya mulai 2031, anggota NSmen boleh selesaikan keperluan latihan menembak mereka dalam masa kurang dua jam.

Mereka boleh menempah slot latihan menembak melalui aplikasi OneNS, serupa dengan bagaimana tempahan bagi Ujian Kecekapan Fizikal Individu (IPPT) dibuat.

Menteri Pertahanan Chan Chun Sing mengumumkan kemudahan baharu itu pada Jumaat (27 Feb) semasa berucap di parlimen bagi membentangkan keutamaan kementeriannya untuk tahun ini.

Beliau berkata penting bagi SAF melatih askar-askarnya dalam sekitaran yang lebih rumit.

"Selain daripada peningkatan keupayaan, MMRC 2 akan membolehkan askar kita berlatih dengan lebih realistik dan tepat merentasi lebih banyak senario, dan domain berbeza melalui sistem sasaran video yang baharu," tambahnya.

"MMRC 2 juga akan membolehkan askar kita mengasah teknik mereka dalam menangkis serangan dron."

Ini merupakan kompleks kedua seumpamanya, dengan yang pertama di kem Pasir Laba.

Kemudahan baharu itu terletak di kem Bedok, yang terletak kira-kira dua minit perjalanan kaki dari stesen MRT Sungei Bedok yang dijadual dibuka pada separuh kedua 2026.

Ini akan memudahkan anggota NSmen untuk mengakses tempat itu dengan menaiki pengangkutan awam, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF).

SENARIO REALISTIK, MENANGKIS DRON

Kompleks Dua Latihan Tembakan Peluru Hidup Pelbagai Misi akan direka bentuk sebagai kemudahan latihan menembak sepenuhnya yang canggih dari segi teknologi.

"Dibina atas tapak yang padat, MMRC 2 akan membolehkan SAF memenuhi keperluan latihan yang semakin meningkat di samping mengoptimumkan sumber tanah," kata MINDEF.

Kompleks baharu itu akan membolehkan tapak yang kini menempatkan enam lapang sasar digunakan untuk keperluan latihan lain, kata Encik Chan.

Serupa dengan bangunan sedia ada, kemudahan kedua itu akan menggunakan model milik-pemerintah, dikendalikan-kontraktor.

Ia akan mempunyai enam lapang sasar dengan jarak 100 meter dan sistem sasaran video yang membolehkan anggota NSmen untuk menjalani latihan secara lebih realistik merentasi pelbagai senario.

"Sekitaran medan pertempuran yang mencabar juga akan disimulasikan melalui lampu berkelip, kesan bunyi dan peralatan seperti serpihan runtuhan tiruan," menurut MINDEF.

Dengan penutupan lapang sasar tersebut, masih ada lagi enam lapang sasar luar untuk latihan menembak di Singapura: dua di Pulau Tekong, dua di Nee Soon dan dua lagi di Poyan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita