Skip to main content

Singapura

SAF akan lupus bom Perang Dunia II 250kg ditemui di Tanah Merah Coast Road

Anggaran Waktu Membaca:
SAF akan lupus bom Perang Dunia II 250kg ditemui di Tanah Merah Coast Road

Bom Perang Dunia II itu ditemui di tapak binaan di Tanah Merah Coast Road. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 01 Apr 2026 11:54PM Dikemas Kini : 02 Apr 2026 12:01AM
  • Bom udara Perang Dunia II seberat 250 kg ditemui di tapak binaan Tanah Merah Coast Road pada Selasa.
  • Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan melupuskan bom tersebut secara terkawal pada Khamis antara 2.30 pagi hingga 4.30 pagi.
  • Pelupusan dilakukan di lokasi antara Landasan 2 dan 3 Lapangan Terbang Changi, dengan kerjasama polis, CAAS, Changi Airport Group dan SCDF.
  • Kawasan awam tidak terjejas dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang, serta boleh menghubungi Pusat Polis Kejiranan Changi untuk pertanyaan lanjut.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan melupuskan bom udara Perang Dunia II seberat 250 kilogram (kg) pada Khamis (2 Apr), selepas ia ditemui di tapak binaan di Tanah Merah Coast Road.

Bom itu, yang ditemui semasa kerja-kerja binaan dijalankan pada 4.55 pagi Selasa, dinilai sebagai tidak selamat untuk dipindahkan oleh pasukan Pelupusan Bahan Letupan (EOD) SAF.

Pasukan itu akan menjalankan pelupusan bom di tapak tersebut antara 2.30 pagi dan 4.30 pagi pada Khamis.

Polis menyatakan dalam kenyataannya bahawa pelupusan itu akan dihadkan dalam kawasan tapak binaan dan kawasan yang boleh diakses oleh orang ramai tidak akan terjejas.

"Bunyi kuat boleh dijangkakan semasa pelupusan terkawal itu. Orang ramai dinasihatkan supaya jangan bimbang," tambah polis.

Peta tapak pelupusan yang disediakan oleh polis kelihatan menunjukkan lokasi antara Landasan 2 dan 3 di Lapangan Terbang Changi.
Related article image
Lokasi tapak pelupusan bom Perang Dunia II seberat 250kg yang ditemui di Tanah Merah Coast Road. (Gambar: SPF)
Polis menyatakan bahawa ia bekerjasama rapat dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Changi Airport Group, SAF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk memastikan pelupusan terkawal bom perang itu dijalankan dengan selamat.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Polis Kejiranan Changi bagi pertanyaan lanjut.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita