Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sabitan pembunuhan terhadap amah dituduh tikam majikan hampir 100 kali diketepikan

Seorang pembantu rumah, yang disabit kesalahan pada April atas tuduhan pembunuhan yang diringankan kerana membunuh majikannya, diketepikan sabitannya pada Isnin (21 Sep). Ini setelah dia memilih untuk mempertahankan pembelaan terhadap tanggungjawab yang dikurangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sabitan pembunuhan terhadap amah dituduh tikam majikan hampir 100 kali diketepikan

Siasatan polis di Telok Kurau. (Gambar fail: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 21 Sep 2020 07:39PM Dikemas Kini : 21 Sep 2020 07:41PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah, yang disabit kesalahan pada April atas tuduhan pembunuhan yang diringankan kerana membunuh majikannya, diketepikan sabitannya pada Isnin (21 Sep). Ini setelah dia memilih untuk mempertahankan pembelaan terhadap tanggungjawab yang dikurangkan.

Memandangkan arahan barunya akan mewajarkannya bagi pengakuan bersalah, sabitan hukuman tersebut diketepikan agar mahkamah boleh mendengar hujah baru mengenai tanggungjawab yang dikurangkan.

Untuk menegakkan pembelaan terhadap tanggungjawab yang dikurangkan, tertuduh mesti mengalami kelainan fikiran tertentu yang dengan ketara menjejas tanggungjawab mentalnya sehingga menyebabkan kematian.

Ini bermakna perbicaraan ke atas warga Indonesia, Daryati, yang berusia 28 tahun, akan diteruskan dengan pembelaan dijangka membuka kesnya pada Oktober. Dia akan disabit kesalahan atau dibebaskan hanya di akhir perbicaraan tersebut.

Daryati menghadapi satu tuduhan membunuh dengan mengelar dan menikam Cik Seow Kim Choo berkali-kali pada malam tanggal 7 Jun 2016 di kediaman mangsa wanita tersebut di Telok Kurau.

Tuduhan kedua atas percubaan untuk membunuh suami Cik Seow akan digugurkan atau diketepikan buat sementara waktu.

Berdasarkan kenyataan fakta yang masih diperakui oleh Daryati, dia bekerja untuk Cik Seow dan keluarganya selama dua bulan sebelum merindui kampung halamannya serta kekasihnya yang berada di Hong Kong.

Walaupun dilayani dengan baik oleh para majikannya, Daryati mahu pulang ke Indonesia dan memulakan sebuah perniagaan. Dia menulis di dalam diarinya bahawa dia perlu "berani" dan melakukan rancangannya secepat mungkin.

"Keluarga majikan saya adalah sasaran saya. KEMATIAN!!!" tulis Daryati dalam satu catatan diari pada 12 Mei 2016, beberapa minggu sebelum insiden itu berlaku.

Daryati menyembunyikan senjata-senjata di sekitar rumah tersebut dan mengajak seorang pembantu rumah lain supaya turut serta dalam muslihatnya tanpa membocorkan sepenuhnya rancangannya.

Pada 7 Jun 2016, dia bersemuka dengan Cik Seow di bilik tidur wanita itu, mengheretnya ke dalam tandas sebelum menikam dan mengelarnya berulang kali. Akibatnya, wanita itu mengalami kira-kira 100 kesan luka.

Apabila suami Cik Seow membuka pintu tandas dengan pemutar skru, Daryati menyerang lelaki itu dengan bersenjatakan dua pisau.

Meskipun sudah ditikam di lehernya, suami Cik Seow berjaya menahan Daryati dan dia kemudian diberkas. Kedua-dua suami Cik Seow dan Daryati dibawa ke hospital tetapi Cik Seow mati akibat beberapa luka yang dialaminya di bahagian kepala serta leher.

Satu laporan psikiatrik daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati Daryati mengalami gangguan penyesuaian dalam tempoh dua minggu sebelum pembunuhan itu berlaku.

Atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300c, Daryati boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup. Oleh kerana dia seorang wanita, dia tidak boleh dirotan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengesahkan pada Isnin bahawa mereka tidak akan mengemukakan hukuman mati jika Daryati tetap berpegang kepada penyataan fakta yang dipersetujui.

Daryati dijangka memberi keterangan bagi kes pembelaannya bulan depan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan