S$68 juta geran Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan disalurkan kepada pencarum CPF
SINGAPURA: Pemerintah sudah membayar S$68 juta geran Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan kepada 117,000 pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Demikian menurut Lembaga CPF hari ini (19 Jan).
Geran itu dimasukkan ke Akaun Persaraan pencarum pada 7 Januari untuk menokok nilai tunai yang diterima pada 2021.
Sembilan daripada sepuluh pencarum menerima geran padanan tahunan maksimum berjumlah S$600, menurut lembaga itu.
"Selain daripada tokokan oleh para pencarum dan orang tersayang, CPF berbesar hati kerana tujuh rakan masyarakat sudah membuat tokokan muhibah kepada lebih 500 warga emas pada tahun 2021. Ini sekali gus membolehkan mereka menerima geran yang dipadankan dan menikmati bayaran bulanan yang lebih tinggi apabila bersara kelak,” menurut lembaga itu dalam satu kenyataan media.
Rakan masyarakat yang terlibat adalah, Khidmat Keluarga Ang Mo Kio, Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Bukit Timah, Khidmat Masyarakat Fei Yue, Pertubuhan Akar Umbi Hong Kah North, Yayasan Masyarakat PAP (Cawangan Yuhua), Yayasan Tsao Foundation dan CCC Woodlands.
Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan itu dilancarkan pada 2021 untuk membantu warga lanjut usia, yang tidak memenuhi Jumlah Persaraan Asas menyimpan lebih banyak untuk persaraan mereka.
Pencarum yang layak akan menerima makluman melalui e-mel, SMS, WhatsApp atau pos bulan ini. Pencarum juga boleh menyemak sama ada mereka layak untuk skim tersebut menerusi laman web CPF.
Pengarah Jabatan Simpanan Persaraan Lembaga CPF, Ong Woei Jiin berkata, “CPF ialah asas persaraan bagi warga Singapura dan melalui (Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan), ramai warga emas dapat mengumpulkan lebih banyak simpanan untuk persaraan mereka.
“Bagi pencarum yang layak bagi (Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan) pada 2022, kami ingin menggalakkan mereka dan orang tersayang membuat tokokan seawal mungkin supaya dapat meraih lebih banyak faedah sepanjang tahun.”
Tokokan boleh dibuat melalui laman CPF dan aplikasi mudah alih CPF dalam satu jumlah besar atau jumlah kecil secara tetap sepanjang tahun, tambah lembaga itu.
"Sesiapa sahaja, termasuk pencarum, orang tersayang atau masyarakat, boleh membuat tokokan tunai kepada pencarum yang layak," menurut lembaga itu.
“Geran yang dipadankan oleh Pemerintah akan dimasukkan (ke dalam akaun) pada Januari 2023.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.