Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S$661 juta lesap angkara skim penipuan pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Feb 2023 05:07PM Dikemas Kini : 08 Feb 2023 09:17PM
SINGAPURA: Mangsa skim penipuan di Singapura mengalami kerugian S$660.7 juta pada 2022, naik 4.5 peratus daripada S$632 juta pada 2021, menurut data yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (8 Feb).

Belia berusia 20 hingga 39 tahun merupakan golongan paling mudah jadi mangsa skim penipuan, membentuk 53.5 peratus daripada keseluruhan jumlah mangsa. Kebanyakannya menjadi mangsa skim tawaran pekerjaan.

Para pakar menarik perhatian bahawa golongan berkenaan bergantung kepada wadah Internet dan aplikasi telefon untuk membeli-belah, melakukan aktiviti perbankan dan berkomunikasi, lantas mendedahkan mereka kepada risiko penipuan dan skim penipuan siber.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas membentuk 8.8 peratus daripada jumlah mangsa, dengan kebanyakannya menjadi mangsa penipuan pancingan data, penipuan panggilan rakan palsu dan penipuan pelaburan.

Lima jenis skim penipuan yang paling banyak berlaku melibatkan pancingan data, penipuan e-dagang, penipuan tawaran pekerjaan, penipuan pelaburan dan penipuan panggilan rakan palsu. Ia membentuk lebih 80 peratus daripada 10 jenis penipuan paling biasa dilaporkan di Singapura.

Jumlah kes bagi setiap jenis penipuan tersebut juga meningkat.

Bagaimanapun, penipuan melibatkan pinjaman dan kes penipuan cinta Internet merosot, tetapi "sedang penipu terus mengubah taktik mereka, kita harus terus berjaga-jaga," kata SPF.

Jumlah yang lesap dalam setiap lima jenis penipuan berkenaan turut meningkat, kecuali penipuan pancingan data, di mana jumlah kerugian yang dialami mangsa merosot lebih 50 peratus kepada sekurang-kurangnya S$16.5 juta.

SPF turut menarik perhatian jumlah kerugian angkara penipuan e-dagang - termasuk kegagalan menerima barangan dan khidmat yang dijual online setelah bayaran dilunaskan - naik lebih tiga kali ganda kepada sekurang-kurangnya S$21.3 juta.

Mangsa biasanya diperdaya penipu e-dagang di wadah Carousell, Facebook dan Shopee, menurut SPF. Sebahagian besar kes melibatkan urus niaga barangan elektronik, unit rumah sewa dan barangan berkaitan permainan.

Kes penipuan pelaburan mencatatkan jumlah kerugian tertinggi, sebanyak 30 peratus atau S$198.3 juta, diikuti oleh penipuan tawaran pekerjaan dan penipuan di mana pelaku menyamar sebagai pegawai pemerintah.

Ini merupakan kali pertama SPF mengeluarkan data tahunan kes penipuan dan jenayah siber yang berlaku di Singapura secara berasingan daripada perangkaan jenayah fizikal.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah kes penipuan meningkat dan mengatasi jenis jenayah fizikal lain, tambah SPF.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan