Skip to main content

Singapura

S$4 sahaja bagi bagasi Rimowa? Jangan terpedaya dengan penipuan ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kira-kira 19 orang menjadi mangsa penipuan pancingan data pada Disember lalu apabila mereka membalas iklan beg pakaian murah.

Kerugian mereka sekurang-kurangnya S$7,000, menurut polis pada Khamis (28 Dis) ketika memberi amaran tentang penipuan tersebut.

Para mangsa terpedaya dengan catatan Facebook yang mempromosikan beg pakaian Rimowa pada harga serendah S$4 dalam laman yang kelihatan serupa dengan iShopChangi.

"Sesetengah iklan/catatan ini dibuat sedemikian rupa seolah-olah ia kelihatan seperti kerjasama khas antara 'iShopChangi Singapore' dan 'Rimowa' sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-125 Rimowa," menurut polis dalam kenyataan medianya.

"Selepas mengklik iklan atau hantaran itu, mangsa akan dibawa ke laman pancingan data, di mana para penipu cuba mencuri butiran kad debit atau kredit mangsa."

Urus niaga tanpa kebenaran itu kemudian dilakukan menggunakan kad mangsa.

Amaran polis pada Khamis dikeluarkan menyusuli nasihat yang sama awal bulan ini tentang penipuan pancingan data yang menawarkan beg pakaian murah daripada "Singapore Airlines Travel".

Empat belas mangsa terpedaya dengan penipuan tersebut, dengan kerugian sekurang-kurangnya S$799, menurut polis pada 7 Dis.
Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan sedemikian dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memasang aplikasi ScamShield dan mengaktifkan pengesahan data tahap kedua untuk urus niaga bank.

"Berhati-hati terhadap tanda-tanda laman web pancingan data dan jika tawaran itu terlalu berbaloi, anda harus memeriksanya dengan syarikat itu menerusi laman web rasminya," kata polis.

"Jika ragu-ragu, jangan sekali-kali berkongsi maklumat peribadi anda dan butiran kad pembayaran dengan sesiapa sahaja."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita