S$2.7 juta lesap di tangan penipu yang menyamar jadi kawan sejak awal tahun
(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Polis pada Khamis (12 Mei) memberi amaran kepada orang awam mengenai kemunculan semula skim penipuan melibatkan penipu yang menyamar sebagai kawan yang memerlukan pertolongan kewangan.
Sekurang-kurangnya 587 mangsa kehilangan wang berjumlah lebih S$2.7 juta secara keseluruhan sejak Januari 2022, menurut polis dalam satu kenyataan media.
Pada Mei sahaja, sekurang-kurangnya 43 orang ditipu dan kehilangan lebih S$177,000 secara keseluruhan dalam penipuan tersebut.
Mangsa kepada penipuan itu akan menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dengan awalan "+", menurut polis.
Apabila panggilan dijawab, penipu tidak akan memperkenalkan diri mereka sebaliknya mereka akan meminta mangsa supaya meneka identiti pemanggil dengan soalan seperti "Teka siapa saya?" atau "Anda tidak ingat saya?"
"Mangsa akan fikirkan bahawa mereka saling mengenali dan mangsa akan menjawab dengan nama kawan atau mereka yang menyerupai suara pemanggil itu," dedah polis.
"Pemanggil kemudian akan berpura-pura untuk menjadi kawan mangsa dan mendakwa bahawa mereka kehilangan telefon bimbit atau sudah menukar nombor telefon bimbit."
Penipu kemudian akan mengarah mangsa supaya megemas kini nombor dalam senarai nombor mereka dan akan menelefon lagi beberapa hari kemudian. Penipu akan meminta pinjaman untuk membantu mereka dalam masalah kewangan ataupun kesalahan berkaitan undang-undang.
"Mangsa akan diberikan nombor akaun bank tempatan ataupun nombor telefon untuk menyalurkan wang tersebut," menurut polis.
"Mangsa hanya akan sedar bahawa mereka ditipu apabila mereka berhubung dengan teman sebenar mereka."
Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan panggilan dengan awalan "+", terutama sekali jika mereka tidak menantikan panggilan luar negeri serta permintaan luar biasa daripada panggilan telefon ataupun mesej meskipun ia kelihatan seperti anggota keluarga atau rakan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengenal pasti sama ada permintaan itu sah dengan memeriksa dengan keluarga ataupun rakan melalui wadah alternatif seperti berjumpa secara fizikal atau menggunakan butiran kontak sebelum itu.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya memberitahu polis jika mereka ada sembarang maklumat berhubung kait jenayah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.