Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S$22,000 lesap dalam kurang seminggu dek pancingan data ERP

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar S$22,000 'hangus' dalam tempoh kurang seminggu angkara pancingan data yang melibatkan Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang belum dibayar.

Demikian didedahkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (18 Okt).

Menurut SPF, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 20 aduan sejak 13 Oktober.

Mangsa-mangsa pancingan data sedemikian biasanya akan menerima kiriman mesej, yang kononnya daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Mesej tersebut mendakwa para mangsa seolah-olah belum melunaskan bil ataupun denda mereka.

Pautan URL turut disertakan dalam mesej tersebut. Malah, sesetengah mesej juga akan menunjukkan seolah-olah ia dihantar oleh ERP.

Para mangsa akan dirujuk ke laman palsu selepas mereka menekan pautan URL tersebut, di mana mereka diminta untuk memberikan butiran kad kredit atau debit serta kata laluan sekali sahaja (OTP).

"Para mangsa kemudian akan menyedari bahawa transaksi yang tidak diluluskan sudah dijalankan menerusi kad kredit atau debit mereka," kata polis, sambil menyifatkan kes-kes pancingan data tersebut sebagai penipuan "varian baru".

Polis menasihati orang ramai supaya jangan menekan pautan URL melalui kiriman mesej sedemikian, sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat dengan laman web dan sumber rasmi dan jangan mendedahkan sebarang butiran peribadi mahupun perbankan Internet serta OTP kepada sesiapa pun.

Bukan itu sahaja, orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan sebarang pembayaran palsu yang dijalankan menerusi kad kredit atau debit kepada bank masing-masing dan membatalkan kad mereka dengan segera.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengumumkan pada 14 Oktober bahawa pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan ID pengirim SMS dikehendaki mendaftar dengan Pejabat Pendaftar ID Pengirim SMS Singapura (SSIR) selewat-lewatnya Januari tahun depan.
 
Para pengendali telekomunikasi juga akan melaksanakan huraian saringan antipenipuan SMS dalam rangkaiannya bagi menyaring mana-mana mesej penipuan secara automatik sebelum ia dikirimkan kepada para pengguna, jelas IMDA dalam kenyataan medianya.

Dua langkah itu dilaksanakan selepas mengadakan perundingan awam dan ia juga adalah sebahagian daripada usaha serampang berbilang mata oleh IMDA dan pihak-pihak berkepentingan lain bagi melindungi SMS sebagai saluran perhubungan dengan lebih baik lagi.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan