Skip to main content

Singapura

S$1.7 juta 'hangus' akibat penipuan libatkan penyamaran sebagai pegawai MAS, wakil insurans

Setakat tahun ini, sekurang-kurangnya S$1.7 juta 'hangus' akibat penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai dari Penguasa Kewangan Singapura (MAS) serta wakil dari NTUC Union, Income Insurance dan UnionPay.

Anggaran Waktu Membaca:
S$1.7 juta 'hangus' akibat penipuan libatkan penyamaran sebagai pegawai MAS, wakil insurans

Para penipu memperdaya mangsa untuk memberikan maklumat peribadi seperti butiran akaun bank dengan menyamar sebagai pegawai MAS atau wakil insurans. (Gambar fail: iStock/fizkes)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 02:59PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 03:00PM
SINGAPURA: Setakat tahun ini, sekurang-kurangnya S$1.7 juta 'hangus' akibat penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai dari Penguasa Kewangan Singapura (MAS) serta wakil dari NTUC Union, Income Insurance dan UnionPay.

Enam kes sudahpun dilaporkan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) sejak Januari 2025.

Dalam satu kenyataan media bersama pada Jumaat (14 Mac), SPF dan MAS menjelaskan 'modus operandi' para penipu, sambil memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan tersebut.

Mangsa akan menerima panggilan tempatan yang bermula dengan +65 atau 8.

Kemudian, mereka akan dimaklumkan bahawa mereka mempunyai premium tertunggak berkaitan dasar insurans hayat yang baharu atau akan tamat tempoh.

Sesudah itu, mereka akan dihubungkan dengan penipu kedua yang akan meminta maklumat peribadi seperti butiran akaun bank untuk mengesahkan butiran dasar mereka.

Mangsa diberitahu bahawa melainkan mereka membatalkan dasar insurans itu, yuran tertunggak akan dipotong secara automatik dari akaun bank mereka.

Ini mendorong mereka untuk mengesahkan akaun bank mereka dengan melakukan pemindahan wang ke akaun bank tertentu.

"Untuk membatalkan dasar insurans, mangsa terlebih dahulu perlu mengesahkan akaun bank mereka dengan melakukan pemindahan wang ke akaun bank yang ditentukan. Dalam beberapa kes, mangsa akan dibimbing untuk melakukan pemindahan tersebut melalui fungsi perkongsian skrin WhatsApp," menurut SPF dan MAS.

"Sepanjang proses berkenaan, mangsa diberi jaminan bahawa wang mereka akan dipulangkan selepas dasar insurans mereka dibatalkan."

Dalam kes lain, mangsa diperdaya penipu yang menyamar sebagai pegawai MAS.

Penipu terbabit memberitahu mangsa bahawa akaun bank mereka terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram ataupun maklumat peribadi mereka telah terjejas, dan untuk "membantu siasatan", mereka perlu memindahkan wang ke akaun bank tertentu.

Mangsa hanya akan menyedari bahawa mereka telah diperdaya apabila si penipu tidak dapat dihubungi ataupun apabila mereka tidak menerima sebarang pemulangan wang.

Menurut pihak berkuasa, NTUC Union, Income Insurance dan UnionPay tidak akan meminta maklumat peribadi atau pembayaran ke akaun bank peribadi melalui panggilan telefon, e-mel, hantaran di WhatsApp, atau SMS.

"Sebarang permintaan sedemikian harus dianggap sebagai satu penipuan," jelas SPF dan MAS.

Bayaran bagi dasar insurans hanya boleh dibuat melalui portal pembayaran selamat Income Insurance, yang merangkumi portal rasmi pelanggan ME@INCOME, sistem telefon Pengenalan Suara Interaktif, AXS dan pembayaran bil perbankan menerusi internet.

Pemegang dasar juga boleh menghubungi penasihat mereka untuk mendapatkan bantuan.

"MAS ingin memberi amaran kepada orang ramai bahawa MAS tidak akan, pada bila-bila masa, meminta anda untuk memindahkan wang atau mendedahkan maklumat peribadi atau butiran perbankan anda," kata pengawal selia kewangan itu.

"MAS juga tidak menyimpan sebarang rekod akaun kewangan atau perbankan individu, dan tidak menyimpan dana individu."

Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan Aplikasi ScamShield untuk menyekat panggilan yang tidak diingini di samping menapis kiriman SMS yang diterima.

Orang ramai juga boleh menetapkan had transaksi yang sesuai bagi perbelanjaan harian dan menurunkan jumlah yang perlu dicapai sebelum menerima pemberitahuan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita