S$135 juta untuk naik taraf 32 estet privet, dedah Menteri MND

(Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Sebanyak 32 estet privet akan menjalani kerja-kerja naik taraf seperti pemasangan tanjakan bebas hadangan, lampu lebih terang di laluan pejalan kaki dan penambahbaikan sudut kecergasan dan taman, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Sabtu (8 Feb).
Kerja-kerja naik taraf itu akan dijalankan sepanjang lima tahun akan datang dan bakal menelan belanja S$135 juta, tambah MND dalam kenyataan medianya.
Daripada jumlah tersebut, S$124 juta akan diperuntukkan bagi Program Peningkatan Estet (EUP) bagi 25 estet privet biasa merata Singapura, manakala baki S$11 juta akan disalurkan kepada skim EUP baharu bagi tujuh estet perak iaitu estet-estet dengan ramai penduduk warga emas yang sudah meraih manfaat daripada EUP "suatu ketika dahulu".
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee mengumumkan rancangan tersebut semasa jamuan malam sempena Tahun Baharu Cina di Kelab Masyarakat West Coast pada Sabtu (8 Feb).
EUP dilancarkan pada tahun 2000 untuk mempertingkatkan keadaan fizikal dan persekitaran estet-estet privet yang lebih tua.
Ia dilakukan "menerusi penambahbaikan prasarana dan kemudahan riadah untuk memenuhi keperluan penduduk dengan lebih baik lagi", menurut MND.
Setakat ini, kira-kira S$216 juta telah diperuntukkan bagi 10 kumpulan EUP untuk menaik taraf estet-estet privet lama di Singapura, dan ia sudahpun memanfaatkan lebih 54,000 isi rumah di 74 estet privet.
25 estet baharu di bawah EUP yang merangkumi lebih 16,600 isi rumah, termasuk estet-estet di Upper East Coast Road, Dunearn, Pasir Ris Beach Park dan Thomson.
Antara contoh kerja-kerja penambahbaikan EUP termasuk pemasangan lampu di laluan pejalan kaki, menutup longkang untuk mewujudkan laluan pejalan kaki, pemasangan tanjakan bebas hadangan untuk memudahkan akses golongan kurang upaya dan warga emas, serta penambahbaikan taman-taman, taman permainan dan sudut kecergasan.
Dalam ucapannya kepada penduduk West Coast, Encik Lee berkata bahawa estet-estet tersebut juga boleh menggalakkan penuaan aktif dan mengeratkan lagi hubungan dalam masyarakat dengan mempertingkatkan taman-taman kejiranan dengan memperkenalkan ciri-ciri seperti taman permainan 3G, sudut kecergasan dan kebun masyarakat.
“Kami akan bekerjasama dengan pasukan-pasukan projek dan masyarakat untuk memastikan penambahbaikan ini bukan sahaja setakat untuk tujuan yang saling memanfaatkan, tetapi juga praktikal, bermakna dan memberi kesan kepada penduduk,” katanya.
Estet-estet tersebut adalah:
- Upper East Coast Road
- Balmoral
- Bright Hill Crescent
- Bukit Regency & Ridgevale Gardens
- Burgundy & Highgate
- Dunearn
- Farrer Holland
- Inglewood & Westlake Gardens
- Jalan Merdu
- Jalan Naung Estate & Realty Park
- Jelita, Lim Tai See, Farrer Leedon & Holland
- Joo Chiat NC 2 @ Marine Parade
- Lakepoint & Lakeside Grove
- Loyang Villas & Mera Terrace
- Oasis @ Mulberry
- Taman Pasir Ris
- Serangoon Garden & Lorong Chuan
- Shepherd’s Hills
- Shrewsbury
- Sunbird-Apollo
- Telok Kurau
- Thomson
- Towner Ville
- Taman West Coast, Hong Leong Gardens (West Coast Road) & Pasir Panjang Gardens (Mas Kuning Terrace)
- Yunnan
EUP BAHARU UNTUK ESTET-ESTET PERAK
MND menyatakan bahawa sedang penduduk Singapura semakin menua, mempunyai prasarana mesra warga emas dan mudah untuk diakses penting untuk 'membolehkan warga emas hidup dengan lebih selesa sedang mereka meniti usia senja mereka'.
Sebagai sebahagian daripada program Sihat Menua SG, MND akan memperkenalkan EUP baharu bagi estet-estet perak.
Tujuh estet membentuk kumpulan pertama EUP baharu bagi estet-estet Perak dan lebih 3,700 isi rumah akan meraih manfaatnya.
Skop kerja-kerja penambahbaikan di bawah EUP untuk estet-estet berkenaan juga akan diperluaskan untuk meliputi ciri-ciri penambahbaikan mesra warga emas.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata antara penambahbaikan itu termasuk pemasangan papan tanda lebih jelas bagi memudahkan penduduk mencari jalan, tanjakan bebas hadangan yang memudahkan pergerakan penduduk yang berkerusi roda dan kebun terapi untuk warga emas.
Estet-estet tersebut adalah:
- Fengshan
- Hillview
- Hong Leong Gardens & Pasir Panjang
- MacPherson Gardens
- Mayfair Park
- Teachers' Housing
- Thomson & Yew Lian Park
Sebagai sebahagian daripada proses EUP, maklum balas dan saranan penduduk amat dialu-alukan dan pandangan mereka akan disertakan dalam keputusan untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf, tambah MND.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.