Skip to main content

Singapura

S$10 yuran pentadbiran ERP akan dikecualikan jika pemandu lunaskan bayaran tertunggak dalam tempoh 5 hari

Anggaran Waktu Membaca:
S$10 yuran pentadbiran ERP akan dikecualikan jika pemandu lunaskan bayaran tertunggak dalam tempoh 5 hari

Tangkapan skrin Google Street View)

SINGAPURA: Tempoh pengecualian selama lima hari akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober bagi para pengguna jalan raya yang dikenakan yuran pentadbiran S$10 kerana tidak membayar tol ERP.

Buat masa ini, pengguna jalan raya yang gagal berbuat demikian di gantri akan menerima sepucuk surat dalam beberapa hari untuk mereka melunaskan caj yang tertunggak serta caj pentadbiran 10 dolar.

Semasa bercakap kepada para wartawan, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat mengatakan pengecualian yuran itu memberikan manfaat kepada semua pihak.

"Ia satu situasi yang saling menguntungkan, kerana bagi LTA, kami mengurangkan kerumitan dan meningkatkan daya penghasilan. Kami tidak perlu proses dan mengirimkan surat kepada pemandu," katanya.

"Tentunya, saya rasa orang ramai akan mengalu-alukan pengecualian yuran pentadbiran ini."

Yuran pentadbiran ERP itu dikuatkuasakan sejak penubuhan sistem ERP pada tahun 1998.

Menurut Encik Chee, setiap tahun, sekitar 500 ribu surat sedemikian dikeluarkan, yang berjumlah sekitar 5 juta dolar yuran pentadbiran yang terkumpul.

Beliau menambah walaupun benar LTA tidak boleh mengumpulkan hasil sebanyak sekitar S$5 juta setahun akibat perubahan itu, ia tetap sebuah situasi yang menguntungkan semua pihak.

"Kami juga sebenarnya lebih suka untuk tidak menanggung kos penghantaran surat terlebih dahulu, dan dapat menggunakan sumber yang kami ada, masa, tenaga kerja, untuk memberikan tumpuan kepada bidang kerja penting yang lain," kata Encik Chee.

“Ia baik untuk jabatan pemerintah, dan ia juga baik untuk rakyat dan perniagaan kita,” tambahnya.

Jika gagal melunaskan yuran ERP yang tertunggak, denda $70 akan dikeluarkan.

LTA menyatakan para pengguna jalan raya perlu mengemas kini nombor telefon bimbit mereka yang didaftarkan di Singapura di laman web Singpass untuk memastikan mereka menerima pesanan SMS daripada LTA.

KENAPA INI DILAKUKAN SEKARANG?

LTA menyatakan pada masa ini, caj pentadbiran S$10 dikenakan untuk menampung kos yang ditanggung oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan semula bayaran tertunggak.

Tetapi dengan pelancaran ERP 2.0, Encik Chee berkata kini terdapat "cara yang lebih baik" untuk membolehkan pemandu membayar tunggakan ERP tanpa menanggung kos pentadbiran.

Ini kerana unit dalam kenderaan (OBU) untuk sistem ERP 2.0 dikaitkan dengan "sistem back-end", yang membolehkan pemandu melihat tunggakan mereka melalui paparan OBU dan membuat pembayaran melaluinya, kata Encik Chee.

“Jadi dengan cara ini, adalah lebih mudah bagi pemandu jika terdapat sebarang tunggakan yang mereka perlu lunaskan pada masa hadapan dengan pemasangan ERP 2.0 … tidak perlu lagi untuk kami menghantar surat kepada mereka, dan oleh itu tiada lagi keperluan LTA untuk mengenakan yuran pentadbiran S$10 kepada mereka,” katanya.

LTA menyatakan ciri OBU baharu akan dilancarkan mulai pertengahan 2025 dan butiran lanjut akan dikongsi apabila sedia kelak.

Mengenai mengapa pengecualian ini dikenakan kepada kesemua kenderaan, Encik Chee berkata memandangkan kebanyakan kenderaan masih tidak mempunyai sistem ERP 2.0, "tidak perlu menunggu ERP 2.0 dipasang sepenuhnya".

"Kami sudah boleh mula melancarkan sesuatu mulai Oktober pertama tahun ini, yang merupakan penyelesaian sementara," katanya.

Beliau menambah pada masa ini, sekitar 100,000 pemandu telahpun memasang ERP 2.0, iaitu kira-kira 10 peratus daripada populasi kenderaan, dan pemasangan untuk semua kenderaan dijangka siap menjelang 2026.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita