Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura uji alat ukur jarak bagi pantau pergaulan peserta jelang WEF 2021

S'pura uji alat ukur jarak bagi pantau pergaulan peserta jelang WEF 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura uji alat ukur jarak bagi pantau pergaulan peserta jelang WEF 2021

Petugas perubatan di pusat ujian pantas antigen COVID-19 di persidangan Geo Connect Asia pada 24 Mac 2021. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 25 Mar 2021 07:54AM Dikemas Kini : 25 Mar 2021 12:01PM

SINGAPURA: Satu acara perniagaan di Singapura sedang menggunakan alat (dongle) pemantau pergerakan untuk memastikan para pesertanya menjaga jarak antara satu sama lain, sedang negara ini bersiap sedia untuk menganjurkan acara-acara besar dengan selamat menjelang Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada Ogos nanti.

Alat bersaiz kecil dan boleh muat diletakkan di dalam saku itu, menggunakan teknologi Bluetooth, untuk memantau maklumat pengguna seperti lokasi, jarak dan tempoh interaksi antara para hadirin di persidangan teknologi selama dua hari yang bermula semalam (24 Mac) di Marina Bay Sands (MBS).

Data yang dikumpulkan akan dimuat naik ke sebuah sistem dari semasa ke semasa dan pihak penganjur boleh memeriksa jika terdapat sesiapa yang melanggar peraturan jarak selamat yang ditetapkan Pemerintah dan mencegahnya jika perlu.

Acara GEO Connect Asia 2021 juga menggunakan pod mesyuarat dengan skrin kaca untuk mengasingkan para peserta, sementara anggota panel yang berucap, kakitangan yang bertugas di lokasi dan sebahagian delegasi persidangan diperlukan menjalani ujian pantas antigen COVID-19 di lokasi.

Alat pemantau pergerakan itu, yang penggunaannya tidak diwajibkan di persidangan tersebut, berbeza dengan alat TraceTogether sedia ada, yang hanya mengongsi data jika terdapat kes jangkitan yang disahkan.

Persidangan itu juga membahagikan para peserta kepada zon-zon dan mengurangkan kekerapan berlaku kontak antara mereka.

Pelanggaran yang lazimnya berlaku adalah jarak satu meter antara seseorang daripada zon berlainan selama lebih 15 minit.

Syarikat yang mencipta alat itu juga menyediakan sistem pengecaman wajah, kod QR dan pendaftaran tanpa sentuhan ke acara tersebut.

"ASAS" KE ARAH PEMULIHAN

Teknologi-teknologi seperti alat tersebut adalah "asas" ke arah penyambungan semula dan pemulihan industri pelancongan, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan.

"Semua ini asas yang amat penting untuk memberikan keyakinan kepada industri MICE dan sekali gus meneliti asas-asas ini untuk menjayakan penganjuran Forum Ekonomi Sedunia pada Ogos tahun ini," kata beliau.

Sejauh ini, Singapura sudah menganjurkan 60 acara dengan sekitar 250 peserta.

GEO Connect Asia 2021 adalah antara dua acara besar dengan sekitar 1,000 peserta yang menghadirinya secara fizikal.

Satu lagi acara adalah acara perdagangan perjalanan antarabangsa, TravelRevive, yang bakal diadakan pada November.

"Setiap acara itu, memberikan kami keyakinan, yang merupakan asas untuk membuka semula industri ini secara bertahap-tahap ," kata Encik Tan.

Teknologi yang digunakan semasa GEO COnnect Asia 2021 memberikan gambaran tentang teknologi sedia ada dan yang sedang diuji.

Beliau merujuk kepada teknologi pengecaman wajah yang digunakan semalam, yang membolehkan proses pemeriksaan suhu badan dilakukan tanpa sentuhan, imbasan wajah menerusi video tanpa sentuhan serta pengesanan kontak dan alat penggera jarak.

Mengulas tentang sama ada vaksinasi akan diperlukan bagi WEF, Encik Tan berkata: "Saya rasa vaksin adalah pengubah keadaan."

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kemajuan program vaksinasi negara-negara lain mungkin berbeza dan masih ada masa untuk menilai keadaan sebelum bulan Ogos.

Apabila ditanya sama ada mesyuarat WEF akan diadakan di MBS, Encik Tan berkata lokasi itu ikonik bagi Singapura.

"Saya rasa lokasi ini secara semula jadi menjadi pilihan kebanyakan penganjur acara. Nantikan saja perkembangannya. Saya rasa WEF perlu membuat keputusan itu. Namun, seperti yang anda lihat, MBS adalah lokasi yang sangat baik untuk Geo Connect dan TravelRevive, yang diadakan bulan November lalu."

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan