Skip to main content

Singapura

S'pura tingkat langkah keselamatan di tempat-tempat utama, institusi agama

Pemeriksaan dan rondaan di tempat-tempat utama serta institusi-institusi agama "ditingkatkan" menyusuli serangan-serangan di New Zealand dan Sri Lanka baru-baru ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (26 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tingkat langkah keselamatan di tempat-tempat utama, institusi agama

(Gambar fail: SPF/Facebook)

Diterbitkan : 26 Apr 2019 08:12PM Dikemas Kini : 26 Apr 2019 08:14PM

SINGAPURA: Pemeriksaan dan rondaan di tempat-tempat utama serta institusi-institusi agama "ditingkatkan" menyusuli serangan-serangan di New Zealand dan Sri Lanka baru-baru ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (26 Apr).

"Polis akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menetapkan langkah-langkah keselamatan berdasarkan sekitaran ancaman," kata seorang jurucakap SPF.

Sri Lanka digegarkan dengan siri pengemboman di Colombo dan daerah sekitarnya pada Hari Easter, meragut lebih 250 nyawa termasuk warga asing. Sekitar 500 mangsa cedera.

Sri Lanka kekal berwaspada sedang Jabatan Negara Amerika Syarikat memberi amaran "kumpulan-kumpulan pengganas" berkemungkinan masih lagi merancang serangan di negara itu.

Kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan-serangan tersebut.

Siasatan awal pemerintah Sri Lanka membayangkan serangan-serangan tersebut mungkin dilakukan sebagai "tindak balas" terhadap insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, yang membunuh 50 orang pada Mac lalu.

Malah, Singapura bukan satu-satunya negara yang meningkatkan langkah keselamatan berikutan serangan berkenaan. Negara jiran, Malaysia, juga meningkatkan keselamatan di bangunan-bangunan kedutaan, konsulat dan tempat-tempat ibadah di seluruh negara.

Selain itu, SPF juga menyatakan bahawa setiap orang mempunyai peranan yang penting untuk memastikan negara kekal dalam keadaan selamat.

Lantaran itu, ia menyeru orang awam yang terlihat mana-mana orang mahupun barang-barang mencurigakan untuk menghubungi polis di talian 999 atau memberikan maklumat menerusi i-Witness di aplikasi Police@SG atau laman www.police.gov.sg/iwitness. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita