S’pura tidak tertekan untuk percepat program vaksinasi meski jumlah kes tempatan rendah, tegas PM Lee
Singapura "tidak mengalami banyak tekanan" untuk memvaksin penduduknya dengan secepat mungkin semata-mata kerana kes jangkitan COVID-19 di sini semakin berkurangan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa wawancara khas bersama BBC pada 14 Mac. (Gambar: Kementerian Perhubungan dan Penerangan)
SINGAPURA: Singapura "tidak mengalami banyak tekanan" untuk memvaksin penduduknya dengan secepat mungkin semata-mata kerana kes jangkitan COVID-19 di sini semakin berkurangan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
PM Lee berkata demikian melalui wawancaranya bersama BBC dalam rancangan Talking Business Asia pada Selasa (2 Mac) sebagai respons terhadap pertanyaan mengapa Singapura tidak bergerak sepantas negara-negara seperti Britain dan Israel bagi strategi vaksinasinya.
"Kami tidak mengalami banyak tekanan kerana kami tidak mempunyai banyak kes jangkitan di dalam negeri," kata PM Lee sambil menegaskan bahawa "Terdapat masa untuk kami menjelaskan kepada orang ramai, meyakinkan mereka, memberikan mereka jaminan dan meredakan kebimbangan dan kegelisahan mereka dan melakukannya dengan cara yang sistematik”.
Setakat sehingga 7 Mac, lebih 596,000 dos vaksin COVID-19 sudah disuntik di Singapura. Secara keseluruhannya, sekitar 379,000 penduduk sudah menerima satu dos dan lebih 217,000 sudah menamatkan program vaksinasi dua dos.
Buat masa ini, hanya vaksin dari Pfizer-BioNTech dan Moderna diluluskan untuk digunakan di sini. Kedua-dua vaksin tersebut memerlukan dua dos.
Para petugas barisan hadapan seperti mereka yang bertugas di sempadan Singapura, kakitangan hospital dan mereka yang bekerja dalam industri binaan diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin.
"Bagi Singapura, kadar jangkitan dalam masyarakat kita adalah sangat rendah, tetapi kita berdepan dengan risiko di sempadan kita, dari barisan hadapan," jelas PM Lee. "Bagi kami, ia menjadi keutamaan nombor satu - untuk menjaga mereka."
Beliau turut mendedahkan bahawa Singapura juga "menjalankan program vaksinasi mengikut usia" dalam pendekatan vaksinasi negara ini.
Lebih 55,000 warga tua yang berusia 70 tahun dan ke atas sudah menerima suntikan dos pertama vaksin dan semua warga tua yang berusia 60 hingga 69 tahun akan ditawarkan vaksin COVID-19 sebelum hujung Mac.
Menurut BBC, sekitar 22.5 juta penduduk di Britain sudah mendapatkan dos pertama vaksin dan lebih sejuta sudah disuntik dengan dos kedua setakat sehingga Rabu (10 Mac).
Para penduduk di sana juga dibenarkan untuk mendapatkan suntikan dos kedua sehingga 12 minggu kemudian, jarak waktu yang lebih besar berbanding 21 hingga 28 hari yang disarankan. Ini dilakukan untuk membolehkan lebih banyak orang mendapatkan dos pertama mereka.
VAKSIN ‘BUKAN BERDASARKAN KERAKYATAN’
Bulan lalu, Singapura menerima penghantaran bekalan pertama bagi vaksin ketiga - keluaran Sinovac dari China - tetapi belum meluluskan kegunaannya di sini.
Apabila ditanya sama ada Singapura tertekan untuk menggunakan vaksin buatan China, PM Lee menegaskan bahawa vaksin Sinovac akan digunakan apabila ia terbukti selamat dan berkesan.
"Kami menggunakan vaksin dari mana-mana sumber, vaksin bukan berdasarkan kerakyatan," tegasnya.
PM Lee menambah bahawa China mempunyai barisan saintis, penyelidik bioperubatan dan pengkaji vaksin yang sangat berkebolehan dan beliau "tidak meragui kemampuan mereka untuk menghasilkan vaksin yang baik".
"Saya rasa tidak ada asasnya untuk sesiapa mengatakan, jika sesuatu vaksin itu berasal dari China, ia tidak baik, atau sebaliknya, jika vaksin berasal dari China, ia mesti hebat kerana saya berdarah Cina dan ia sesuai dengan DNA saya."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.