S'pura tidak tergesa-gesa larang penggunaan beg plastik, kata Grace Fu
Larangan terhadap beg plastik bukanlah langkah yang akan dibuat oleh Pemerintah "secara terburu-buru" memandangkan Singapura sudahpun membakar sisa plastiknya dan menjana tenaga daripada proses itu. Demikian kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu bercakap di satu dialog online pada 12 Ogos 2020. (Gambar: Kementerian Kemampanan dan Sekitaran)
SINGAPURA: Larangan terhadap beg plastik bukanlah langkah yang akan dibuat oleh Pemerintah "secara terburu-buru" memandangkan Singapura sudahpun membakar sisa plastiknya dan menjana tenaga daripada proses itu. Demikian kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.
Lantaran itu, tidak seperti negara-negara lain yang melarang beg plastik, nilai langkah itu kepada Singapura "berbeza sedikit", kata Cik Fu pada Rabu (12 Ogos).
Beliau berkata Singapura mengamalkan pendekatan kitar semula dan pengurusan sisa pragmatik yang mengambil kira kos pada ekonomi, alam sekitar serta masyarakat. Ia juga melaksanakan huraian berdasarkan bukti saintifik.
Cik Fu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan di satu dialog online mengenai kemampanan dan kitar semula plastik yang dihoskan oleh Dewan Perusahaan dan Perniagaan Singapura-Jerman.
Beliau turut ditanya tentang pandangannya mengenai bagaimana Singapura boleh menangani pengumpulan sisa dengan lebih mampan memandangkan ruang terhad di tapak pelupusan Pulau Semakau dan pelepasan gas karbon meningkat disebabkan pembakaran.
Cik Fu berkata kajian tentang kitar semula plastik sudah berubah sehingga ada jalan baru untuk memanfaatkan nilai dari plastik kitar semula. Pemerintah gigih untuk meneruskan saranan-saranan itu.
Beliau menukil satu contoh kitar semula dari botol ke botol di mana bahan plastik yang dikitar semula masih mempunyai mutu sama dengan bahan plastik tulen walaupun setelah ia diproses.
Teknologi baru itu lebih banyak potensi berbanding huraian kitar semula plastik yang lain.
Cik Fu juga berkata rancangan sedang dijalankan untuk memperluaskan keupayaan kitar semula Singapura dan mengurangkan sisa makanan serta sisa elektronik dan plastik.
"Inisiatif ini akan mewujudkan pekerjaan baru dalam bidang -bidang yang baru membangun seperti kejuruteraan, robotik dan automasi," katanya.
"Ia juga akan menempatkan perusahaan tempatan dalam kedudukan untuk mengeksport huraian ini."
PUSAT KECEMERLANGAN BAGI KITAR SEMULA PLASTIK
Di acara online itu, Dewan Perusahaan dan Perniagaan Singapura-Jerman melancarkan buku baru bertajuk 'Grun Book'.
Ia menyelami tentang pelaksanaan rangka kerja Tanggungjawab Pengeluar Diperluas di mana pengeluar memastikan produk mereka dikitar semula dengan betul di akhir hayat kitaran.
Buku itu juga membincangkan tentang perubahan bahan sisa kepada sesuatu yang bernilai.
Encik Joachim Ihrcke, pengerusi jawatankuasa kemampanan dewan itu, berkata bahawa matlamatnya adalah agar Singapura menjadi hab serantau untuk pengetahuan kitar semula plastik.
Untuk mencapainya, dewan tersebut berharap dapat memulakan Persatuan Kitar Semula Plastik dan Pusat Kecemerlangan Kitar Semula Plastik bagi membolehkan kitar semula dari botol ke botol di Singapura.
Ia juga berharap agar pihak-pihak berkepentingan, seperti perusahaan kecil dan sederhana di Singapura dan Jerman, ikut serta.
Syarikat-syarikat ini termasuk "pemain tukikan" yang terlibat dalam pelbagai aspek rantaian kitar semula seperti pengumpulan sisa, penyusunan, pengumpulan, peracikan, pencucian dan proses pengasingan terakhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.