Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tidak jangka berlaku kemelesetan sepanjang tahun, kata DPM Heng

Pemerintah tidak menjangkakan berlaku kemelesetan sepanjang tahun buat masa ini kerana masih ada bidang-bidang pertumbuhan, seperti infokom serta sektor binaan, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (12 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jul 2019 05:35PM Dikemas Kini : 13 Jul 2019 12:50AM

SINGAPURA: Pemerintah tidak menjangkakan berlaku kemelesetan sepanjang tahun buat masa ini kerana masih ada bidang-bidang pertumbuhan, seperti infokom serta sektor binaan, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (12 Jul).

Encik Heng berkata demikian selepas anggaran rasmi yang diterbitkan awal hari ini menunjukkan perangkaan ekonomi lebih lemah, dengan pertumbuhan sekadar 0.1 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding setahun lalu. Ia adalah kadar pertumbuhan paling perlahan yang dialami sejak krisis kewangan global pada pertengahan 2009.

Angka pertumbuhan terbaru membayangkan ketidaktentuan semakin ketara dan risiko-risiko pada ekonomi sejagat, terutamanya di tengah-tengah ketegangan dagangan antara Amerika Syarikat dan China, tulis Encik Heng dalam satu catatan Facebook.

"Kami bersedia untuk mengharungi putaran ekonomi. Pemerintah sedang memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan majikan serta kesatuan untuk bersiap sedia mengharungi semua senario."

Meskipun negara sedang menangani cabaran jangka masa pendek dan menolong mereka yang terjejas dengan kitaran ekonomi masa ini, Encik Heng berkata Singapura mesti terus memberi tumpuan dalam menangani cabaran jangka masa sederhana dan jangka panjang.

"Majlis Ekonomi Masa Depan akan meneruskan pelan transformasi industri, bangunkan keupayaan perusahaan lebih kukuh dan memanfaatkan sepenuhnya yang ada di sekitar kita," tambah Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

Menyokong gagasan perlunya fokus pada asas jangka panjang, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata ini memerlukan pembangunan keupayaan yang nyata dan baru, meneroka pasaran-pasaran baru dan memperoleh kemahiran baru.

Beliau menambah Singapura akan membantu syarikat-syarikat dan pekerja menyesuaikan diri kepada realiti baru, berbanding setakat menjana permintaan secara keseluruhannya.

RAKYAT PERLU PERTINGKAT DIRI "LEBIH PANTAS"

Bagaimanapun, Encik Chan turut mengingatkan warga Singapura tidak harus mudah berpuas hati dan menekankan bahawa masyarakat perlu mempertingkatkan diri dengan "lebih pantas" daripada negara-negara lain untuk memanfaatkan peluang-peluang baru.

Meskipun menghadapi cabaran jangka dekat, Pemerintah yakin asas-asas kukuh negara akan membantunya mengharungi cabaran dan menghasilkan sekitaran yang sesuai bagi kemajuan jangka masa panjang, kata beliau.

Turut menulis di Facebook pada Jumaat adalah Menteri Kewangan Josephine Teo, yang berkata bahawa peluang pekerjaan kekal ada meskipun pertumbuhan ekonomi semakin perlahan.

Khidmat kewangan, khidmat profesional dan teknologi infokom adalah antara bidang-bidang yang menawarkan sekitar 60,000 peluang kerja bagi Karyawan, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET), kata beliau.

Pekerjaan yang baru dan lebih baik juga akan terus tumbuh seiring transformasi ekonomi.

Dengan sekatan kuota pekerja asing dalam bidang perkhidmatan, sebilangan majikan juga sedang menggajikan lebih ramai pekerja meskipun sedang menyusun semula struktur untuk mengurangkan penggantungan pada tenaga manusia. Cik Teo menambah, latihan semula atau penyesuaian jangkaan gaji mungkin diperlukan bagi kerja-kerja tersebut.

Beliau juga menasihatkan para pencari kerja supaya bersifat lebih fleksibel dari segi tingkah laku dan pemikiran.

"Misalnya, mereka yang mencari kerja seharusnya ikuti perkembangan terkini dalam industri dan meluaskan rangkaian kenalan. Mereka juga boleh pertimbangkan semula peluang-peluang kerja yang mereka tidak pertimbangkan sebelum ini."

Cik Teo menegaskan Pemerintah sentiasa bersedia untuk memberi lebih banyak sokongan pekerjaan apabila perlu.

Beliau juga memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa tiada kekurangan program latihan untuk menyokong pekerja.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 100 Program Pertukaran Profesional dalam lebih 30 sektor.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan