S'pura, AS teroka cara sambung semula perjalanan udara termasuk sijil vaksinasi
Singapura dan Amerika Syarikat akan meneroka cara-cara untuk menyambung semula perjalanan udara antarabangsa dengan selamat di tengah-tengah penularan COVID-19.

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung membincangkan perubahan iklim dan penyambungan semula perjalanan udara dengan Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat Pete Buttigieg pada 8 Apr. (Gambar: Ong Ye Kung/Facebook)
SINGAPURA: Singapura dan Amerika Syarikat akan meneroka cara-cara untuk menyambung semula perjalanan udara antarabangsa dengan selamat di tengah-tengah penularan COVID-19.
Ini termasuk penggunaan sijil-sijil vaksinasi.
Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung mengadakan mesyuarat pengenalan secara maya bersama dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat Pete Buttigieg pada Khamis (8 Apr).
Mereka membincangkan pelbagai isu termasuk pemulihan daripada pandemik dan perubahan iklim.
Kedua-dua Encik Ong dan Encik Buttigieg "sedia maklum akan kesan pengangkutan terhadap perubahan iklim" dan "peranan kritikal" yang dimainkan dalam memacu pemulihan ekonomi, meneruskan pergerakan barangan dan bekalan dan memudahkan pertukaran antara rakyat dari kedua-dua negara.
"Membina atas kerjasama cemerlang yang terjalin sejak sekian lama oleh agensi-agensi teknikal dan para pegawai kedua-dua pihak, mereka melahirkan harapan untuk saling memperkukuh dan memperdalam pertukaran dua hala antara Singapura dengan Amerika Syarikat dalam semua sektor pengangkutan," menurut kenyataan bersama Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT)dengan Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat.
Kedua-dua negara juga akan saling berkongsi amalan terbaik berhubung pengangkutan bandar dan sistem pengangkutan bijak.
Selain itu, peluang-peluang akan diteroka untuk memajukan pendigitalan dan memanfaatkan automasi.
PERUBAHAN IKLIM
Sebagai negara anggota kepada Perjanjian Paris, Singapura dan Amerika Syarikat akan bekerjasama dalam menangani perubahan iklim dalam sektor pengangkutan. Ini termasuk bahan bakar alternatif, pengelektrikan, langkah-langkah berteraskan pasaran dan kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan.
Kedua-dua negara juga akan melanjutkan pembangunan dan kegunaan bahan bakar penerbangan yang mampan serta teknologi mesra alam yang lain bagi memenuhi dan mematuhi piawai antarabangsa, menurut kenyataan bersama itu.
Bidang-bidang kerjasama lain termasuk mengenal pasti hasil inovasi baru seperti kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu serta prasarana mengecas kenderaan dan teknologi mobiliti bijak.
Singapura dan Amerika Syarikat juga akan meneroka amalan-amalan terbaik dalam perancangan pengangkutan bandar, seperti mengurangkan perjalanan tidak penting dan menggalak kegunaan pengangkutan awam dan pilihan rendah karbon seperti berjalan kaki dan mengayuh basikal.
"Kedua-dua pihak juga merancang untuk mengukuhkan kerjasama menerusi ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), untuk memastikan penerbangan dan pengangkutan melalui laluan laut kekal terbuka, berkesan, cekap, selamat, mampan dan berdaya bingkas, dengan cara-cara yang konsisten dengan undang-undang antarabangsa dan dengan rundingan rapat bersama industri dan pihak-pihak berkepentingan lain.
"Kami akan meneruskan perbincangan di Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, khususnya menerusi Kumpulan Kerja Pengangkutan dan Mesyuarat-Mesyuarat Menteri Pengangkutan, menyokong Wawasan Putrajaya APEC 2040 dan memperluaskan usaha kumpulan itu dari segi iklim, inovasi dan pendigitalan," menurut kenyataan bersama tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.