S'pura teliti cara luaskan sistem cukai harta dalam semakan strategi fiskal: Lawrence Wong
Singapura sedang terus mengkaji bagaimana ia dapat meluaskan sistem cukai hartanya sedang negara ini menyemak strategi fiskal dalam menghadapi cabaran utama seperti ketidaksamarataan dan perubahan iklim, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (15 Okt).
SINGAPURA: Singapura sedang terus mengkaji bagaimana ia dapat meluaskan sistem cukai hartanya sedang negara ini menyemak strategi fiskal dalam menghadapi cabaran utama seperti ketidaksamarataan dan perubahan iklim, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (15 Okt).
Bercakap di Sidang Meja Bundar Ekonomi Singapura ke-35 yang dianjurkan Institut Kajian Dasar, Encik Wong berkata Singapura sejauh ini berjaya mengamalkan dasar fiskal yang berjimat dan berkesan.
Beliau berkata tugas yang dihadapi hanya akan menjadi lebih sukar dengan tiga cabaran utama - ketidaksamarataan, penduduk yang pesat menua dan perubahan iklim - yang akan menentukan hala tuju strategi fiskal negara.
Cabaran-cabaran itu, yang disebutnya sebagai "lengkungan", saling terkait dan perlu ditangani secara menyeluruh, kata Encik Wong.
"Sebagai contoh, penduduk yang menua dapat memburukkan ketidaksamarataan, sementara ketidaksamarataan dapat membuat golongan berpendapatan rendah lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim," kata Encik Wong.
Untuk mencapai masyarakat yang lebih adil, mesra alam dan inklusif, Singapura "harus menyemak semula strategi fiskalnya" untuk menangani cabaran-cabaran itu.
SISTEM CUKAI PROGRESIF
Terdapat tiga keutamaan penting di sebalik langkah fiskal negara, katanya. Salah satunya adalah menegakkan sistem cukai yang adil dan progresif sedang negara mempertimbangkan cara-cara berbeza untuk menambah pendapatan.
Salah satu ciri progresif, menurut Encik Wong, adalah mengambil kira bukan hanya pendapatan seseorang tetapi harta kemewahannya. Mereka yang lebih berkemampuan harus membayar jumlah cukai sewajarnya, tambah menteri itu.
Singapura sudahpun mengenakan cukai ke atas harta kekayaan dalam pelbagai bentuk seperti cukai hartanah dan duti setem ke atas hartanah kediaman, serta yuran pendaftaran tambahan bagi kenderaan bermotor.
Negara ini juga dapat mengurangkan sebahagian jurang kemewahan yang dapat dilihat di tempat-tempat lain melalui dasar pemilikan rumahnya.
Misalnya, subsidi perumahan awam yang “banyak” membolehkan pemilik rumah mendapat keuntungan daripada kenaikan harga rumah dan ekuiti, katanya.
TANGANI KESAN KENAIKAN CUKAI
Singapura juga mempunyai sistem cukai dan pemindahan yang progresif, kata menteri itu, sambil menarik perhatian kepada bagaimana negara ini mengekalkan "tahap pemindahan tinggi" kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Isi rumah dalam golongan berpendapatan 20 peratus paling rendah menerima faedah sekitar S$4 bagi setiap dolar cukai yang dibayar, kata Encik Wong dalam ucapannya.
Nisbahnya sekitar 1:2 untuk isi rumah berpendapatan pertengahan, manakala isi rumah dengan jumlah pendapatan 20 peratus paling tinggi menerima faedah S$0.30 bagi setiap dolar cukai yang dibayar.
Beliau menambah tidak seperti banyak negara Eropah yang mengenakan cukai pendapatan yang tinggi untuk menyokong sistem kebajikan mereka, Singapura memastikan jumlah "perbelanjaan awamnya berhemat tetapi tetap berkesan".
Itulah sebabnya separuh daripada penduduk yang bekerja di negara ini tidak perlu membayar cukai pendapatan peribadi, sementara kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) "berada di paras sekarang", katanya.
Pun begitu, pendapatan pemerintah perlu ditingkatkan bagi menampung perbelanjaan yang bertambah pada masa hadapan, kata Encik Wong.
Pemerintah pertama kali mengumumkan rancangan untuk menaikkan kadar GST dari 7 peratus kepada 9 peratus dalam Belanjawan 2018. Awal tahun ini dalam Belanjawan 2021, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata kenaikan itu akan berlaku antara tahun depan dengan 2025, dan dijangka dilakukan 'lebih cepat' dan bukan 'lebih lewat' bergantung pada keadaan ekonomi.
Menjelaskan sebab Pemerintah merancang menaikkan GST, Encik Wong menarik perhatian bagaimana keperluan penjagaan kesihatan Singapura sahaja akan memerlukan tambahan 3 peratus daripada hasil dalam negara kasar bagi perbelanjaan selama 10 tahun akan datang.
Termasuk keperluan untuk melabur dalam mengurangkan pelepasan karbon, menyediakan pendidikan yang bermutu dan menjaga keselamatan, keperluan negara adalah "sangat besar dan terus meningkat".
Ditanya bagaimana kenaikan inflasi di seluruh dunia akan menjejas tarikh kenaikan GST, Encik Wong menjawab bahawa Pemerintah akan "mempertimbangkan prospek ekonomi secara keseluruhan, termasuk inflasi", semasa membuat keputusan.
Namun beliau menekankan bahawa kenaikan GST yang dirancang "tidak boleh dilihat secara berasingan", memandangkan Pemerintah sebelumnya sudah mengumumkan Pakej Jaminan S$6 bilion.
Menurutnya lagi skim Baucar GST tetap juga akan dipertingkat. "Jadi, kita harus melihatnya secara menyeluruh. GST di Singapura cukup unik berbanding dengan hampir semua negara lain,"ujar Encik Wong.
"LENGKUNGAN" 1: MASYARAKAT ADIL & SAKSAMA
Matlamat Singapura adalah "membina masyarakat yang lebih adil dan saksama", kata menteri itu dalam ucapannya.
Untuk mencapai tujuan ini, negara perlu menangani tiga "lengkungan" atau cabaran.
Menyentuh lengkungan pertama mengenai ketidaksamarataan, Encik Wong berkata bagaimana koefisien Gini Singapura (perangkaan bagi mengukur ketidaksamarataan pendapatan dalam masyarakat) terus menurun sejak 2007 selama hampir 15 tahun sekarang, berdasarkan "langkah-langkah yang dilaksanakan Pemerintah".
Koefisien Gini adalah sifar apabila wujud kesaksamaan pendapatan dan satu dalam keadaan ketidaksamarataan pendapatan.
Setelah mengambil kira kesan pengagihan semula cukai dan pemindahan, ukuran utama ketidaksamarataan pendapatan semakin berkurangan setiap tahun dan jatuh ke paras terendah pada 2020.
Singapura juga sudah mencapai "kemajuan yang baik" dalam mobiliti sosial, kata Encik Wong.
Namun masih banyak yang boleh diperbaiki, kata Encik Wong. Lantaran itu menurut beliau, Model Gaji Progresif baru-baru ini diperluas dan skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja ditambah untuk menyokong pekerja bergaji lebih rendah.
Daya usaha SkillsFuture juga bertujuan membantu golongan pekerja dewasa terus menimba ilmu agar memperbaiki prospek kerja mereka, tambahnya.
"Semua usaha ini perlukan lebih banyak dana. Namun MOF tidak akan teragak-agak untuk membiayai bidang-bidang ini," tekan beliau.
"LENGKUNGAN" KE-2: MASYARAKAT MENUA
“Lengkungan” kedua adalah berkaitan dengan masyarakat Singapura yang merupakan antara yang paling cepat menua, dengan suku warga Singapura dijangka berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030.
Ini boleh memberi "tekanan yang besar" kepada masyarakat, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa perbelanjaan jagaan kesihatan dijangka "terus meningkat bahkan setelah 2030". Pada masa yang sama, jumlah penduduk dalam lingkungan usia bekerja yang merosot akan mengecilkan asas cukai pendapatan negara.
Encik Wong berkata dengan tenaga buruh yang semakin mengecil, daya penghasilan akan menjadi lebih penting lagi. Inilah sebabnya Pemerintah telah membantu perniagaan untuk berubah dan beralih dari proses manual, dan melengkapi pekerja dengan kemahiran baru.
Ini juga bermakna mengembangkan ekonomi perak bagi perniagaan untuk berinovasi dengan barangan dan khidmat baru bagi warga emas, sambil meningkatkan usia persaraan dan mengambil pekerja kembali bekerja, selain memberikan kenaikan gaji dan geran untuk memberi insentif kepada syarikat untuk mengambil pekerja mapan.
"LENGKUNGAN" KE-3: PERUBAHAN IKLIM, CUKAI KARBON AKAN DISEMAK
Menyentuh pula tentang "lengkungan" ketiga iaitu pelepasan karbon, Encik Wong berkata Singapura kekal komited kepada usaha global untuk memerangi perubahan iklim dan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan karbon dalam ekonominya.
Namun ini bukan sesuatu yang mudah kerana Singapura menghadapi "kekurangan berganda" - kekurangan dari segi ruang tanah dan dari segi sumber semula jadi yang menjadikannya lebih sukar untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui pada skala besar.
Ia juga menghadapi risiko besar banjir di pesisiran pantai dan banjir di darat. "Namun kisah ekonomi kita sentiasa membuktikan kita dapat mengatasi cabaran," tambah menteri itu.
Antara langkah-langkah yang sedang diambil, Singapura "secara serius mempertimbangkan import tenaga elektrik hijau" dan sedang mencari cara untuk mengatasi kos tinggi, dan cabaran teknikal dan keselamatan.
Ia juga secara aktif merebut peluang baru untuk berkembang sebagai hab kewangan yang mampan, sambil melabur dalam penyelidikan dan pengembangan teknologi baru seperti hidrogen dan karbon.
Pelaburan itu, kata Encik Wong, akan mengambil masa untuk membuahkan hasil tetapi dapat meletakkan Singapura pada kedudukan baik dalam jangka panjang.
Sementara itu, Singapura juga sedang menyemak tahap dan hala tuju penetapan cukai karbonnya.
Pemerintah bercadang untuk mengumumkan kadar cukai karbon yang disemak semula bagi tahun 2024, pada Belanjawan tahun depan, sambil mendedahkan apa yang boleh dijangkakan hingga 2030.
"Kami sedar bahawa perniagaan akan memerlukan masa untuk membuat penyesuaian," tambahnya.
Diumumkan semasa Belanjawan 2018, kadar cukai karbon Singapura ditetapkan pada S$5 setiap tan pelepasan gas rumah hijau dari 2019 hingga 2023. Pemerintah menyatakan kemudian bahawa ini akan ditambah menjadi antara S$10 hingga S$15 setiap tan menjelang 2030.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.