S'pura sudahpun jadi Negara Bijak, kata menteri GovTech
Cabaran untuk menggerakkan inisiatif Negara Bijak adalah untuk "meyakinkan rakyat bahawa kita mesti mengganggu diri sendiri".
Dr Janil Puthucheary, Menteri Bertanggungjawab bagi GovTech. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Rakyat tidak menyedari sejauh mana bijaknya Singapura hari ini.
Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) Janil Puthucheary sedang beliau meneliti kemajuan Singapura dalam usaha mencapai visi Negara Bijak.
Memetik Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) sebagai contoh, Dr Janil menyatakan bagaimana para pengguna boleh membaca dan merujuk keseluruhan koleksi buku dari rumah mereka sendiri menerusi peralatan mudah alih atau mereka boleh menempah buku dan mengambilnya dari sebuah lokar setelah habis waktu kerja.
Ciri-ciri seumpama itu adalah bukti bagaimana teknologi sudah dimanfaatkan untuk memberikan khidmat kepada rakyat.
"Prasarana, ketersambungan, rancangan dan perisian untuk menjadikan semua ini satu kenyataan, ia satu fenomena luar biasa," tambah beliau.
"Tetapi bagi kita, ia sesuatu yang sememangnya ditawarkan oleh NLB bukan?"
Dr Janil, yang juga Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pendidikan juga merujuk kepada sistem elektronik online bagi permohonan pasport (APPLES) yang ditawarkan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sebagai satu lagi contoh.
"Anda boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pasport baru hanya dengan mengambil gambar selfie," kata beliau.
Dalam sekitaran penyediaan khidmat bermutu tinggi inilah, GovTech beroperasi dan menurut Dr Janil cabaran untuk menggerakkan inisiatif Negara Bijak adalah untuk "meyakinkan rakyat bahawa kita mesti mengganggu diri sendiri".
Ini diharap dapat ditangani menerusi lima projek strategik kebangsaan yang dikenal pasti oleh Pejabat Pemerintah Digital dan Negara Bijak (SNDGO) iaitu Sistem Identiti Digital Kebangsaan, e-bayaran, Wadah Sensor Negara Bijak, mobiliti bandar bijak dan Detik Kehidupan atau Moments of Life.
Dr Janil menjelaskan: "Setiap satu daripada projek tersebut, pada asasnya, adalah satu cabaran yang masih belum dihuraikan (dan) kita perlu merungkainya dan campur tangan demi meraih manfaat-manfaatnya."
PASTIKAN KESELAMATAN URUS NIAGA ONLINE
Menjadikan sistem NDI sebagai contoh, Dr Janil berkata niatnya adalah untuk Pemerintah menyediakan "pentauliahan dan pengesahan identiti sebagai khidmat".
Pada bulan Ogos tahun ini, SNDGO menyatakan sistem NDI akan dibangunkan menggunakan sistem SingPass yang sedia ada, yang buat masa ini membolehkan rakyat melakukan urus niaga dengan agensi-agensi Pemerintah.
GovTech dilaporkan akan memulakan percubaan-percubaan bagi token-token perisian mudah alih supaya pengesahan khidmat lebih mudah dan selamat serta meluaskan khidmat pangkalan data online MyInfo.
Pada bulan lalu, sebuah portal baru dilancarkan untuk menyediakan sumber-sumber supaya perniagaan-perniagaan menyepadukan khidmat digital mereka dengan MyInfo.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Janil berkata dengan adanya NDI, sesebuah entiti sektor privet tidak perlu bimbang tentang pentauliahan kerana ia boleh dilakukan oleh Pemerintah.
"Kami mahu sektor privet lebih berdaya bingkas dalam cara mereka melindungi data rakyat," kata Dr Janil.
"Apa yang kami harapkan daripada (NDI) itu adalah supaya sebagai pelanggan, anda boleh berasa yakin bahawa pembekal aiskrim contohnya tidak mengumpulkan pangkalan identiti anda.
"Mereka menerima wang anda, ini bermakna anda sudahpun melakukan urus niaga dengan mereka dan sedang anda keluar dari kedai, mereka tidak lagi perlu melindungi keselamatan anda kerana tiada apa yang perlu dilindungi."
Ini, menurut Dr Janil, adalah salah satu manfaat yang akan ditawarkan sistem NDI sebaik sahaja ia bermula.
Sistem sedemikian semakin penting untuk mengurangkan jumlah pencabulan data yang kian meningkat dan sering dialami para penyedia khidmat.
Misalnya, pada bulan November lalu CEO Uber Dara Khosrowshahi mendedahkan tentang data peribadi seramai 57 juta penumpang dan pemandu yang digodam pada tahun 2016.
Manalaka, penyedia khidmat sewa basikal oBike mengesahkan pada minggu lalu bahawa ia menjadi mangsa pelanggaran data menjejas lima pasaran, termasuk Singapura.
E-BAYARAN BUKAN UNTUK TANPA TUNAI
Dari segi e-bayaran di negara ini, lebih-lebih lagi setelah ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menyentuh tentang isu itu, Dr Janil mahu membetulkan salah faham.
Ditanya tentang dapatan tinjauan REACH yang dikeluarkan pada bulan September, yang mendapati hanya 48 peratus rakyat Singapura ditinjau mengatakan mereka menyokong langkah ke arah masyarakat tanpa tunai, sementara lagi 24 peratus tidak bersetuju. Dr Janil menyatakan soalan tu tidak diajukan dengan betul.
"Isunya bukanlah tentang langkah ke arah tanpa tunai. Apa yang kami mahukan adalah proses e-bayaran yang bersepadu, mudah dan selamat."
Beliau berkata di Singapura, sudah terdapat "sebahagian besar" pilihan e-bayaran seperti kad kredit, NETS, kad-kad ez-link dan PayNow.
"Persoalannya adalah bagaimana kita boleh menjadikan ekosistem e-bayaran lebih mudah dan bersepadu dan berinteraKsi dengan lebih baik," kata beliau dan ini bukanlah sesuatu yang "boleh dihuraikan semalaman".
Bagi inisiatif Kod Respons Pantas Singapura (SG QR) pula, Dr Janil berkata ia adalah salah satu daripada beberapa pilihan e-bayaran bagi para pengguna memandangkan prasarananya sudah disediakan.
Apa yang penting bukanlah untuk mempunyai pertambahan kod QR untuk digunakan.
Cara SG QR dimulakan, kata beliau, adalah contoh bagaimana Pemerintah berharap untuk mewujudkan bentuk operasi yang saling bergantung antara satu sama lain dan sepadu dalam pasaran.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada bulan lalu mengumumkan SG QR akan dimulakan dan digunakan oleh para penyedia khidmat bayaran di sini pada tahun depan, manakala pilihan-pilihan sedia ada seperti NETS QR dan Singtel Dash QR juga akan menjadi sebahagian daripada kod QR biasa.
Dr Janil menambah warga tua juga akan dapat memanfaatkan e-bayaran dan tidak ketinggalan seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak di media sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.