S'pura sudah buat kemajuan dalam keharmonian kaum namun tetap isu sensitif: K Shanmugam
Meskipun Singapura sudah membuat kemajuan berhubung keharmonian kaum, ia tetap merupakan suatu isu yang sangat sensitif, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
SINGAPURA: Meskipun Singapura sudah membuat kemajuan berhubung keharmonian kaum, ia tetap merupakan suatu isu yang sangat sensitif, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
Beliau berkata demikian dalam dialog bertajuk "Regardless of Race" anjuran OnePeople dan CNA pada Ahad (29 Sep).
PEMERINTAH PERLU DILIHAT SEBAGAI "ADIL, TIDAK BERPIHAK"
Iklan "wajah gelap" oleh NETS yang menimbulkan tengkarah baru-baru ini dan video oleh sepasang adik beradik telah menonjolkan isu hubungan kaum.
Menjelaskan keputusan pihak berkuasa, Encik Shanmugam berkata pemerintah tidak boleh hanya mengambil tindakan apabila masyarakat Cina, yang membentuk majoriti, membuat video yang menyinggung perasaan kaum minoriti.
Beliau berkata pemerintah perlu dilihat sebagai "adil, tidak berpihak dan berada di tengah".
Jika ada pihak merasa didiskriminasi, mereka "berhak" dan sememangnya "mesti membincangkannya".
Namun beliau menekankan perlunya garis panduan tentang bagaimana mereka meluahkan pandangan.
Encik Shanmugam berkata, ucapan secara terbuka tidak selalunya membawa kebaikan, sebaliknya boleh membangkitkan kemarahan. Oleh itu tindakan tegas dan pantas perlu diambil bagi mencegah ucapan bersifat kebencian.
PERBINCANGAN TENTANG KAUM DAN AGAMA
Mengenai diskriminasi dalam pengambilan kerja - seorang peserta bertanya sama ada kuota boleh ditetapkan untuk memastikan keadilan dalam pengambilan pekerja dari pelbagai kaum.
Encik Shanmugam berkata ia merupakan "idea yang menarik minat ramai" tetapi sukar untuk dilaksanakan kerana Singapura dihambat oleh faktor-faktor utama seperti sumber tenaga kerja yang kecil dan asas kos yang tinggi.
Seorang lagi peserta turut bertanya tentang pentingnya mempunyai "ruang yang selamat" untuk berbincang tentang bangsa dan agama.
Encik Shanmugam berkata perbincangan seperti itu diperlukan dan orang ramai mesti mahu menyertainya.
Semasa menggulung dialog tersebut, Encik Shanmugam berkata forum-forum seperti itu penting kerana ia memupuk persefahaman lebih mendalam para peserta.
Namun, sesi-sesi seperti itu perlu diperluaskan kepada khalayak ramai.
Encik Shanmugam menambah tidak ada "jalan keluar yang mudah" dalam menyelesaikan isu perkauman, namun kuncinya ialah untuk menyedari bahawa isu tersebut wujud dan terus berusaha untuk menyelesaikannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.