Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sudah belanja lebih S$270 juta bagi HSR, usaha hapus syarikat aset sebab utama projek batal: Ong Ye Kung

Permintaan M'sia untuk ketepikan syarikat aset menunjukkan "perubahan asas" yang tidak dapat dipersetujui, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung di Parlimen pada Isnin (4 Jan)

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Jan 2021 08:50PM Dikemas Kini : 04 Jan 2021 11:31PM

SINGAPURA: "Keprihatinan utama" yang menyebabkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) adalah disebabkan cadangan Malaysia agar syarikat aset, yang akan menguruskan projek itu ditiadakan, dedah Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Isnin (4 Jan)

Bercakap semasa sidang Parlimen pertama tahun ini, Encik Ong juga berkata bahawa Singapura telah menanggung kos lebih S$ 270 juta bagi projek itu, yang pertama kali diumumkan pada 2013.

Pendedahan itu dibuat setelah perdana menteri Malaysia dan Singapura mengeluarkan kenyataan bersama pada 1 Januari untuk mengumumkan bahawa perjanjian dua hala HSR ditamatkan setelah perjanjian projek itu luput pada 31 Disember.

Kenyataan itu menarik perhatian bahawa kerajaan Malaysia telah mengusulkan "beberapa perubahan" kepada projek tersebut memandangkan kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi negara berkenaan.

Kedua-dua pihak telah mengadakan beberapa pusingan rundingan mengenai perubahan tersebut dan tidak dapat mencapai kata sepakat, kata Encik Lee Hsien Loong dan Encik Muhyiddin Yassin.

Satu tender bersama bagi sebuah syarikat aset bagi projek HSR dibuka oleh MyHSR Malaysia dan SG HSR Singapura pada Disember 2017.

Syarikat aset itu diperlukan untuk memastikan kepentingan kedua-dua negara dilindungi dan mengurangkan kemungkinan berlaku pertikaian pada masa depan berhubung HSR, jelas Encik Ong kepada Parlimen.

Beliau berkata bahawa kedua-dua Malaysia dan Singapura tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan laluan kereta api laju dan oleh itu kami bersetuju bahawa "pemain industri kelas terbaik" akan dilantik untuk bertindak sebagai syarikat aset melalui "tender antarabangsa yang terbuka dan telus".

Syarikat tersebut sepatutnya akan menyediakan sistem kereta api serta mengendalikan rangkaian, dan memastikan keutamaan yang sesuai diberikan kepada perkhidmatan HSR rentas sempadan serta bertanggungjawab kepada kedua-dua negara.

Dengan menghapuskan syarikat aset tersebut, ia menunjukkan "perubahan asas" dari perjanjian dua hala dan tidak dapat diterima, kata Encik Ong.

Malaysia kemudian memutuskan untuk membenarkan perjanjian itu ditamatkan, tambahnya.

Beliau berkata meskipun Malaysia perlu membayar ganti rugi kepada Singapura atas penamatan projek tersebut, jumlah pampasan tidak boleh didedahkan atas perjanjian kerahsiaan di bawah perjanjian dua hala.

Jumlah itu akan termasuk pelbagai kos seperti untuk khidmat perundingan dan reka bentuk infrastruktur yang kini digugurkan, dan tenaga kerja - tetapi bukan kos pemerolehan tanah kerana nilai tersebut dapat diperolehi semula, katanya.

"Dengan (perjanjian dua hala) HSR telah ditamatkan, Singapura bersedia untuk membincangkan sebarang usulan baru dari Malaysia berhubung HSR KL-Singapura," kata Encik Ong.

KESAN KE ATAS HAB PENERBANGAN, RANCANGAN KAWASAN JURONG

Encik Ong juga menjawab soalan AP Radin Mas, Melvin Yong, yang merujuk kepada beberapa laporan media membayangkan bahawa cadangan untuk menghubungkan HSR ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai titik pertikaian kerana kemungkinan kesannya ke atas status Singapura sebagai hab penerbangan.

Encik Ong bagaimanapun berkata bahawa keprihatinan utama berhubung hal itu adalah masalah teknikal kerana HSR perlu berkongsi landasan dengan Express Rail Link, sistem kereta api sedia ada yang bergerak pada separuh kelajuan HSR.

Hakikatnya, lalu lintas udara yang sibuk antara Kuala Lumpur dengan Singapura, yang disifatkan Encik Ong sebagai laluan udara tersibuk di dunia dengan sekitar 5 juta penumpang setahun, menandakan projek HSR adalah "berdaya mampan, saling menguntungkan dan strategik untuk jangka panjang".

AP Hougang Dennis Tan bertanya alasan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia mengenai perubahan kedudukan mereka mengenai pelantikan syarikat aset.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Anggota Parlimen atas soalan itu tetapi saya benar-benar tidak dapat bercakap bagi pihak kerajaan Malaysia," kata Encik Ong sebagai menjawab soalan AP Parti Pekerja itu.

Menjawab pertanyaan dari AP GRC West Coast Ang Wei Neng pula, Encik Ong berkata tamatnya projek HSR tidak memberi banyak kesan ke atas rancangan bagi Daerah Tasik Jurong, di mana terminal Singapura bagi HSR sepatutnya ditempatkan.

Satu lagi projek kereta api rentas sempadan, RTS Johor Bahru-Singapura, "sedang berjalan lancar" dan Singapura upacara pecah tanah bagi projek itu dijadualkan tidak lama lagi, tambah Encik Ong.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan