Skip to main content

Singapura

S'pura semak isu berkaitan wanita secara menyeluruh demi wujudkan kesaksamaan jantina

Singapura akan menyemak isu-isu berkaitan wanita secara menyeluruh sedang negara berusaha menangani sikap-sikap asas dan mewujudkan kesaksamaan jantina dengan lebih luas.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura semak isu berkaitan wanita secara menyeluruh demi wujudkan kesaksamaan jantina

Para pekerja pejabat di daerah pusat perniagaan pada 11 Ogos 2020. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 20 Sep 2020 09:20PM Dikemas Kini : 20 Sep 2020 09:23PM

SINGAPURA: Singapura akan menyemak isu-isu berkaitan wanita secara menyeluruh sedang negara berusaha menangani sikap-sikap asas dan mewujudkan kesaksamaan jantina dengan lebih luas.

Pihak berkuasa akan bekerjasama dengan Badan-Badan Bukan Pemerintah (NGO) untuk mendekati orang awam mulai bulan depan.

Saranan-saranan akan dikemukakan dalam Kertas Putih yang akan dibentangkan di Parlimen pada separuh pertama tahun depan.

Pada Julai lalu, seorang mahasiswa pergigian dikenakan hukuman berasaskan masyarakat dan tidak dipenjara kerana cuba untuk mencekik bekas temanitanya.

Itu adalah antara kes-kes kebelakangan ini yang mencetuskan kemarahan awam kerana hukumannya dianggap terlalu ringan.

Meskipun pihak berkuasa menjatuhkan hukuman lebih berat bagi sesetengah kesalahan, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata isu itu perlu dikupas pada peringkat asasnya.

"Titik permulaan sepatutnya adalah, perkara ini tidak sepatutnya berlaku, tiada alasan. Alasan seperti seseorang itu masih muda, menuntut di universiti dan sebagainya perlu kurang dititikberatkan. Bagi tujuan itu, pemahaman, pembelajaran dan penghayatan perlu didalami. Ia perlu dibina, diajar dari usia muda.

"Pendekatannya tidak sepatutnya, ia sekadar satu lagi kesalahan. Dan undang-undang, hukuman dan faktor-faktor meringankan hukuman, dan sama ada sesetengah faktor merupakan faktor yang meringankan hukuman perlu mencerminkan nilai-nilai dan tatalaku masyarakat," ujar beliau.

Encik Shanmugam menambah bahawa perlu ada perubahan sikap terhadap kesaksamaan jantina sejak usia muda lagi.

Itulah matlamat pemerintah di sebalik semakan menyeluruh tersebut berhubung isu-isu wanita.

Ia juga akan menyelidik isu-isu dalam konteks khusus seperti peranan dan keprihatinan wanita di rumah, sekolah dan tempat kerja serta dalam masyarakat.

SEMAKAN DITERAJUI 3 PEMEGANG JAWATAN WANITA

Semakan itu akan diterajui tiga penjawat politik wanita iaitu Menteri Negara Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam.

Cik Rahayu berkata: "Apabila pandemik COVID-19 berlaku, kita melihat beberapa isu yang timbul semakin ketara dalam kalangan masyarakat kita. Antaranya adalah situasi di rumah di mana adanya keganasan keluarga dan sebagainya. Ini adalah satu isu penting yang harus ditangani.

"Kemudian kita juga lihat bagaimana apa yang kita lihat selalu di rumah, kebiasaan di rumah di mana ibu atau wanita itu perlu melakukan kerja rumah di samping tugasannya. Jadi itu adalah sesuatu yang kita lihat menimbulkan satu cabaran bagi wanita kerana kita masih lihat unsur-unsur tradisi masyarakat kita di mana kita masih mengharapkan wanita untuk melakukan kerja di dapur, kerja bersama anak-anak."

Lantaran itu, Cik Rahayu menambah bahawa perkara-perkara itu adalah sesuatu yang perlu difikirkan kerana memang menjadi satu cabaran untuk mendapatkan keseimbangan.

Sesi-sesi mengumpul maklum balas akan diadakan mulai Oktober.

Encik Shanmugam menambah, masyarakat yang tidak mengiktiraf kedudukan wanita yang setara dengan lelaki, tidak akan pernah merealisasikan potensinya.

Ini bertambah penting bagi Singapura, di mana tenaga manusia merupakan satu-satunya aset.

Menurut Encik Shanmugam, matlamat semakan tersebut bukan semata-mata untuk menghasilkan Kertas Putih tetapi juga untuk menyampaikan mesej jelas kepada setiap anak perempuan bahawa Singapura akan sentiasa menjadi tempat untuk mereka mencapai potensi sepenuhnya. 

Sumber : CNA/ZK/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita