Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sejauh ini berhasil lawan COVID-19; tetapi mesti belajar dari kesilapan, tegas PM Lee

Singapura berhasil melawan COVID-19 dan menstabilkan keadaan tetapi negara ini mesti belajar daripada kesilapannya dan melakukan lebih baik lagi pada lain masa, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Parlimen hari ini (2 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Sep 2020 06:59PM Dikemas Kini : 02 Sep 2020 08:48PM

SINGAPURA: Singapura berhasil melawan COVID-19 dan menstabilkan keadaan tetapi negara ini mesti belajar daripada kesilapannya dan melakukan lebih baik lagi pada lain masa, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Parlimen hari ini (2 Sep).

"Berdasarkan hasil kesihatan, sejauh ini, kita sudahpun melakukannya dengan baik," kata PM Lee sambil mengatakan bahawa angka korban akibat COVID-19 di Singapura adalah antara yang terendah di dunia dengan jangkitan baru "hanya segelintir" saja setiap hari dan kurang daripada 100 pesakit yang masih dirawat di hospital.

Namun, PM Lee berkata respons Singapura terhadap COVID-19 "bukannya tanpa sebarang kelemahan". Beliau menambah pandemik tersebut turut menguji setiap pemerintah di dunia dan tiada satu negara pun yang sempurna.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap di Parlimen pada 2 Sep 2020. 

(Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap di Parlimen pada 2 Sep 2020.)

"Berbekalkan pengalaman lalu, kita pastinya akan melakukan sesetengah perkara dengan cara yang berbeza," ujarnya.

"Sebagai contoh, saya berharap kita boleh dapat tahu lebih awal bahawa orang yang dijangkiti COVID-19 berjangkit walaupun mereka tidak bergejala," kata PM Lee.

“Apabila kita membawa rakyat Singapura pulang dari merata dunia pada Mac, kita akan meletakkan mereka di bawah kuarantin lebih awal dan bukan hanya mereka yang pulang dari negara-negara tertentu supaya virus itu tidak merebak ke para anggota keluarga, rakan-rakan setugas dan kawan-kawan mereka.

“Kita akan menguji mereka sebelum melepaskan mereka daripada kuarantin tidak kira sama ada mereka menunjukkan sebarang simptom dan bukannya menganggap bahawa tiada gejala bermaksud tiada jangkitan."

PM Lee berkata Pemerintah akan menyarankan agar semua orang memakai pelitup muka lebih awal daripada yang dilakukannya tetapi pihaknya sudah mendapat "nasihat ilmiah terbaik yang tersedia" ketika itu.

“Sebaik sahaja Pertubuhan Kesihatan Sedunia memperakui penularan tidak bergejala adalah satu masalah besar, kita mengubah dasar-dasar kita dan mengagihkan pelitup muka kepada semua orang," katanya.

Perdana Menteri berkata Pemerintah juga akan bertindak "lebih agresif dan lebih pantas" ke atas dormitori pekerja asing dengan menekankan bahawa ia tahu hidup bermasyarakat di dormitori menimbulkan risiko jangkitan.

“Hidup bermasyarakat dalam apa jua bentuk menimbulkan risiko - di atas kapal, di kem tentera, asrama pelajar, rumah jagaan," ujarnya. "Kita meningkatkan langkah berjaga-jaga. Buat suatu masa, ini kelihatan memadai. Tetapi kemudian kelompok besar tercetus di dormitori yang mengancam akan menewaskan kita."

“KEBIJAKSANAAN DEMI KENYATAAN”

PM Lee berkata semua itu adalah "kebijaksanaan demi kenyataan" sambil menambah bahawa Singapura mesti "belajar daripada kesilapan ini" dan melakukan lebih baik pada lain masa.

“Namun dalam ketidaktentuan, ia mustahil untuk selalu membuat keputusan yang sempurna," tambah beliau.

"Namun, kita harus membuat keputusan dan mengorak langkah seterusnya. Kita tidak mampu menunggu. Kuncinya adalah untuk melihat sesuatu dengan teliti, belajar daripada pengalaman serta menyesuaikan tindak balas kita dengan segera apabila maklumat baru muncul dan sedang keadaan berubah."

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap di Parlimen pada 2 Sep 2020. 

PM Lee berkata skala dan kerumitan dalam respons Singapura terhadap COVID-19 bermaksud "ada ketidaksempurnaan yang tidak dapat dielakkan".

Berhubung penyambungan semula pekerjaan bagi para pekerja asing, PM Lee akur bahawa Pemerintah membuat langkah "lebih sukar dan membebankan" terhadap majikan terutamanya kontraktor.

"Mereka mendapatinya sebagai sesuatu yang mengecewakan apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai peraturan, kelulusan dan pemeriksaan baru walaupun ketika mereka sedang berusaha untuk menguruskan perniagaan masing-masing," katanya.

"Tetapi saya berharap mereka memahami bahawa kita melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka dan melakukan semua ini untuk menjaga keselamatan rakyat kita.

"Adalah lebih baik kita memastikan langkah-langkah ini berfungsi serta membuat perniagaan beroperasi dengan selamat daripada menderita wabak baru dan harus menutup ekonomi sekali lagi."

GANDING BAHU LAWAN COVID-19

COVID-19 sudah menyebabkan "keadaan yang sangat huru-hara pada kehidupan kita" dan pertimbangan utama Pemerintah sejak awal lagi adalah untuk melindungi nyawa rakyat Singapura.

"Banyak negara berbicara tentang meratakan lengkung jangkitan atau membiarkan penyakit itu menjangkiti penduduk sehingga wujud imuniti kelompok," kata PM Lee.

"Tetapi itu akan bererti ramai rakyat Singapura jatuh sakit dan mungkin ribuan orang mati, terutama yang tua dan mudah terjejas. Kita bertekad sejak dari awal lagi untuk tidak mengambil jalan itu. Kita melakukan yang terbaik untuk membendung penularan demi menjaga keselamatan warga Singapura."

Kakitangan SAF membungkuskan pelitup muka, di Institut Ketenteraan SAFTI, untuk pengagihan kepada orang awam. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

(Kakitangan SAF membungkuskan pelitup muka, di Institut Ketenteraan SAFTI, untuk pengagihan kepada orang awam. Gambar: Try Sutrisno Foo)

Ini termasuk menyediakan semua sumber Singapura termasuk membangunkan keupayaan pengesanan kontak dan ujian, meluaskan sistem jagaan kesihatan dengan ketara selain mengerahkan Home Team dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk menghulurkan bantuan di dormitori.

Melaksanakan pemutus rantaian jangkitan adalah satu "langkah amat besar" dan ia memerlukan "pengorbanan besar" daripada warga Singapura, kata PM Lee.

"Namun, Kabinet memutuskan untuk meneruskannya, memperlahankan kadar jangkitan dan mengawal keadaan dengan ketat, memberi kita masa. Mujur, kita menetapkan masa pemutus jangkitan yang tepat dan nasib baik, ia berjaya."

PM Lee berkata Singapura berupaya menangani COVID-19 hanya kerana perkhidmatan awam, kepimpinan politik, perniagaan dan orang ramai saling bekerjasama serta memainkan peranan masing-masing.

Misalnya, beliau berkata pegawai, kementerian dan agensi pemerintah bertungkus lumus membangunkan keupayaan baru dengan pantas dan tampil melakukan perkara di luar skala mahupun skop biasa mereka.

Pemimpin politik menentukan keutamaan, membuat keputusan besar, mengarahkan penjawat awam untuk melaksanakan keputusan ini, mendapat sokongan masyarakat terhadap langkah-langkah tersebut dan memikul tanggungjawab itu, ujar beliau.

Ini termasuk sama ada untuk melaksanakan 'circuit breaker', kegiatan mana satu yang harus disekat, perniagaan mana untuk kekal dibuka serta sama ada menutup atau membuka semula sekolah.

"Perusahaan ... bekerja keras untuk menghasilkan huraian, sehingga menjangkaui misi perniagaan masing-masing," tambah PM Lee.

"Mereka menubuhkan barisan pengeluaran pelitup, membina Kemudahan Jagaan Masyarakat, membangunkan keupayaan ujian, mencari di seluruh dunia bagi peralatan ujian, alat ujian dan reagen serta mereka bentuk kios untuk menjalankan ujian swab ke atas pesakit dengan selamat dan banyak lagi." 

PM berkata tindak balas keseluruhan terhadap COVID-19 amat bergantung kepada warga Singapura yang bekerjasama dan meyakini Pemerintah sambil menambah bahawa beliau berterima kasih atas kerjasama mereka yang akan kekal genting sedang pertarungan ini berlangsung.

"Banyak kehidupan rakyat Singapura terjejas teruk tetapi mereka menanggung kesulitan ini dengan tenang dan tabah," katanya. "Banyak yang secara sukarela mengambil bahagian dalam operasi COVID-19, kadangkala di barisan hadapan dan juga dalam usaha masyarakat untuk membantu orang lain mengharungi masa-masa sukar ini."

COVID-19 DAN PENYAKIT X

PM Lee berkata meskipun keadaan COVID-19 kini stabil, Singapura tidak sepatutnya berpeluk tubuh saja. Beliau menukil satu tinjauan baru-baru ini yang menunjukkan hampir separuh responden sudah penat mematuhi langkah-langkah keselamatan.

PM Lee berkata virus COVID-19 terus berjangkit dan kuat seperti sebelumnya. Beliau menarik perhatian apa yang berubah adalah langkah dan keupayaan dipertingkat yang dibangunkan untuk membendungnya.

Beliau juga berkata COVID-19 tidak akan menjadi krisis kesihatan awam yang terakhir bagi Singapura sambil menggambarkan bagaimana para saintis berbincang tentang "Penyakit X" - satu penyakit baru yang tidak diketahui, amat mudah berjangkit, memudaratkan dan mudah berubah.

“Jadi apabila COVID-19 muncul, orang ramai bertanya sama ada ini adalah Penyakit X," katanya. "COVID-19 adalah satu bencana bagi dunia tetapi ia bukan Penyakit X. Ia bukan penyakit baru yang paling dahsyat yang boleh melenyapkan manusia."

PM Lee berkata Penyakit X hanya menanti masa sebelum ia muncul dan menegaskan bahawa Singapura mesti belajar daripada COVID-19 serta bagaimana ia menangani pandemik untuk "bersiap sedia seberapa boleh".

“Kita harus membina daya ketahanan, naluri dan persiapan kita. Ini supaya apabila Penyakit X datang satu hari nanti, kita akan menjadi lebih bersedia," tambahnya.

Sungguhpun demikian, PM Lee berkata Singapura perlu "mengulang fikir dan mencipta semula" untuk terus berjaya dalam dunia pasca COVID-19 sambil merujuk kepada bidang-bidang seperti jaringan keselamatan sosial, pekerja asing dan politik."

“Sekalipun sedang kita menguruskan keadaan semasa, kita mesti memandang ke hadapan dan mempersiapkan diri bagi era pasca COVID-19," ujarnya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan