S'pura sedia pelbagai pelan luar jangka tangani penularan virus korona baru: Gan Kim Yong
Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata meskipun langkah-langkah sudah dilaksanakan bagi menangani virus korona baru, Singapura harus bersedia menghadapi perkembangan-perkembangan baru pada masa depan.
SINGAPURA: Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata meskipun langkah-langkah sudah dilaksanakan bagi menangani virus korona baru, Singapura harus bersedia menghadapi perkembangan-perkembangan baru pada masa depan.
Meskipun penularan di peringkat masyarakat tidak berlaku di Singapura sekarang, pemerintah sedang bersiap sedia untuk menghadapi salah satu senario yang mungkin berlaku itu.
Dalam kenyataan menteri di parlimen pada Isnin (3 Feb), Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata anak kuncinya adalah untuk mengesan segera dan menghadkan penularan virus korona itu.
Encik Gan menambah, Singapura sudah menyiapkan pertahanan berbilang barisan, bagi mengurangkan risiko kes import dan penularan di peringkat masyarakat.
Namun beliau memberi amaran tentang laluan panjang dalam usaha mengekang virus tersebut yang berpunca dari Wuhan, China.
Merujuk kepada sindrom SARS yang mengambil masa lapan bulan sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan sebagai berjaya dikawal pada Julai 2003, Encik Gan berkata kita tidak pasti bagaimana virus baru itu akan berkembang.
Maka itu Encik Gan berkata rakyat harus sedia memberikan respons kepada perkembangan baru apabila keadaan berubah.
Dalam pendekatan berjaga-jaga tetapi tenang, Encik Gan berkata apabila disahkan positif, pemerintah boleh segera menjejak hubungan pesakit dengan segera.
Jika penularan masyarakat menjadi sangat meluas, tambah Encik Gan, Singapura perlu menimbangkan langkah-langkah lebih meluas, untuk mengekang interaksi antara manusia seperti membatalkan perhimpunan besar, menggantung sekolah, mengurangkan khidmat jagaan tidak penting dan mengawasi keadaan untuk membendung penularan virus tersebut.
Encik Gan berkata pemerintah sedang meningkatkan persiapan bagi senario-senario yang mungkin berlaku.
MOH juga kata Encik Gan, telah meningkatkan keupayaan menampung pesakit iaitu sebanyak kira-kira 100 katil, sejak dua hari lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.