S'pura sasar wujudkan 10,000 pekerjaan dengan pejabat digital baru
Sebuah pejabat yang memberi tumpuan kepada usaha digital, dilancarkan Pemerintah pada Rabu (26 Jun), bagi menggalak kerjasama lebih baik antara pemerintah dengan sektor swasta untuk manfaatkan peluang-peluang "zaman serba digital", termasuk mewujudkan sekitar 10,000 pekerjaan.
SINGAPURA: Sebuah pejabat yang memberi tumpuan kepada usaha digital, dilancarkan Pemerintah pada Rabu (26 Jun). Penubuhannya bagi menggalak kerjasama lebih baik antara pemerintah dengan sektor swasta untuk memanfaatkan peluang-peluang "zaman serba digital", termasuk mewujudkan sekitar 10,000 pekerjaan baru dalam sektor teknologi.
Ini diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran dalam ucapan pembukaannya di Sidang Puncak Negara Bijak, acara utama Minggu Inovasi Negara Bijak tahun ini.
Menurut Encik Iswaran, ekonomi digital saling berhubung kait dengan ekonomi konvensional sedia ada. Teknologi pula merupakan sebahagian penting fabrik perusahaan selain pekerjaan dan kehidupan warga seharian.
Demi memanfaatkan peluang ini, Pemerintah dan sektor swasta harus bekerjasama "sebagai rakan kerja yang diyakini dan pengasas bersama huraian". Ini dijadikan sebab tertubuhnya pejabat Industri Digital Singapura (DISG), menurut beliau.
Pejabat baru itu menggabungkan 45 pegawai dari Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB), Enterprise Singapore dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), menurut satu kenyataan berasingan DISG pada Rabu.
Ia juga menjadi pusat sehenti pertama bagi semua perkara berhubung perusahaan digital dan akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang memenuhi pelbagai keperluan perusahaan seperti perolehan bakat dan akses kepada pasaran, pembangunan upaya dan mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa, kata Encik Iswaran.
Merujuk kepada sokongan yang diberi DISG kepada kerjasama antara Grab, syarikat media Vice dan IMDA, Encik Iswaran menambah: "Terdapat beberapa projek lain seperti ini dalam perancangan DISG, yang akan menjana lebih banyak manfaat bagi ekosistem digital Singapura termasuk menghasilkan sekitar 10,000 pekerjaan baru dalam tempoh tiga tahun mendatang."
Menurut DISG, selain peranan berkaitan dengan teknologi, pekerjaan dalam bidang-bidang seperti kewangan, sumber manusia, invoasi dan pembangunan perniagaan akan dijana.
KURANGKAN HALANGAN DIGITAL RENTAS SEMPADAN
Dalam ucapan beliau Encik Iswaran berkata syarikat-syarikat mengongsi bahawa undang-undang dan dasar sedia ada tidak cukup menangani isu-isu baru yang terbit akibat ekonomi digital. Perjanjian dagangan sedia ada dilakar bagi perdagangan barangan dan khidmat namun kurang sesuai bagi urus niaga digital, kata beliau.
Lantaran itu, Singapura mengusulkan idea Perjanjian Ekonomi Digital, yang menurut Encik Iswaran adalah bentuk perjanjian baru yang memperkukuh kerjasama antara negara-negara berhubung ekonomi digital.
"(Perjanjian-perjanjian ini) juga akan menetapkan aras dan undang-undang antarabangsa untuk menangani bidang-bidang baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan identiti digital."
Contohnya Singapura, Chile dan New Zealand sudah merintis rundingan tiga pihak mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Digital atau DEPA manakala rundingan dengan Australia pula tertumpu kepada usaha mengukuhkan kerjasama bagi ekonomi digital, ujar Encik Iswaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.