Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sasar tumbuh sektor pengilangan 50% dalam tempoh 10 tahun akan datang

Singapura mahu merangsang pertumbuhan dalam sektor pengilangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh 10 tahun mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jan 2021 06:31PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 08:51PM

SINGAPURA: Singapura mahu merangsang pertumbuhan dalam sektor pengilangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh 10 tahun mendatang sedang ia berusaha memastikan sektor itu terus menyumbang kepada sekitar satu perlima pengeluaran ekonomi bagi jangka pertengahan.

Matlamat itu lebih daripada sekadar sasaran perangkaan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (25 Jan). Ia juga sebagai membuka laluan kepada "perubahan mutu" dalam sektor tersebut, dengan pengilangan canggih menjadi penyumbang terbesar.

"Kebanyakan pengilangan generasi masa lalu bergantung pada persaingan kos seringkali digantikan dengan alternatif-alternatif lebih murah di negara-negara lain," kata beliau kepada para wartawan selepas mengadakan lawatan ke sebuah firma kejuruteraan jitu, Univac.

"Sebaliknya, lebih daripada kenaikan nilai 50 peratus itu, kami mahu melihat lebih banyak kegiatan pengilangan di negara ini beralih ke pengilangan canggih, di mana persaingannya bukan berdasarkan kos tetapi hak milik intelektual yang boleh kita jana, mutu produk dan tahap kejituan yang boleh kita sediakan dalam sektor itu."
Untuk melakukan demikian, Pemerintah berharap untuk menarik lebih ramai rakyat Singapura menyertai sektor itu, di samping terus menarik "pelaburan-pelaburan dengan pulangan tinggi" ke dalam negara ini dan mempersiap lebih banyak syarikat tempatan untuk beralih ke pengilangan canggih, kata Encik Chan.

Sejauh ini, sektor pengilangan menyumbang kepada sekitar 21 peratus atau kira-kira S$106 bilion hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura.

Sektor itu menggajikan sekitar 450,000 pekerja atau kira-kira 12 peratus daripada tenaga kerja, dengan gaji median sekitar S$4,700. Jumlah itu, 10 peratus lebih tinggi berbanding median ekonomi meluas, kata Encik Chan.

Encik Chan berkata pandemik COVID-19 menekankan pentingnya sektor itu kepada Singapura.

"Dalam dunia di tengah-tengah dan pasca COVID-19, penting untuk kita mempunyai ekonomi yang lebih rencam," kata beliau, merujuk kepada bagaimana prestasi baik dalam sektor kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan jitu menyumbang kepada ekonomi negara pada tahun lalu disebabkan permintaan meningkat bagi produk-produknya di tengah-tengah pandemik ini.

Selain itu, penting juga bagi Singapura untuk "mempunyai keupayaan dan produk-produk unik", kata Encik Chan lagi.

"Sedang kita memerangi COVID-19, untuk mendapatkan bekalan-bekalan penting kadangkala menjadi satu sistem barter atau perdagangan tukar barang dan mungkin ia akan berterusan sedang rantaian bekalan global terus terganggu," kata beliau.

"Jadi, sama ada orang lain akan menjual barangan kepada kita atau tidak seringkali bergantung sama ada kita mempunyai barangan yang bernilai kepada orang lain, sehingga mereka mahu memperolehinya menjangkaui isu sama ada mereka sanggup membayar untuknya."

"SASARAN MENCABAR"

Sekalipun demikian usaha itu bukan sesuatu yang mudah, kata Encik Chan, yang menyifatkan pengumuman terbarunya bagi sektor pengilangan sebagai "sasaran amat mencabar".

Memandangkan pengilangan sudah tumbuh sekitar 50 peratus dalam tempoh sedekad lalu, sasaran terbaru adalah untuk mengekalkan trend pertumbuhan "daripada pangkalan lebih besar" dalam tempoh 10 tahun mendatang.

"Jadi dalam keadaan apa pun, ini adalah sasaran yang sulit," kata beliau.

Terdapat juga cabaran-cabaran lain, seperti tenaga manusia.

"Encik Chan berkata: "Dalam tempoh 10 tahun mendatang, kita perlu mencapai pertumbuhan ini dengan jumlah tenaga manusia yang lebih kecil. Era di mana kita boleh membawa masuk tenaga kerja asing untuk menambah pekerja di Singapura semakin lama semakin sukar.

"Kita mesti melakukannya mungkin dengan jumlah tenaga manusia lebih kecil tetapi bakat-bakatnya bermutu tinggi, supaya kita boleh beralih ke era pengilangan canggih, di mana kita melengkapi tenaga kerja tempatan dengan mesin-mesin bermutu tinggi."

Lantaran itu, Pemerintah akan mempergiat usaha untuk mengembangkan bakat tempatan. Selain daripada menajamkan kemahiran pekerja lebih tua, Pemerintah juga boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menarik generasi muda.

Ini termasuk bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi bagi memastikan para lulusan dilengkapi kemahiran-kemahiran relevan serta menyokong syarikat-syarikat dan sekolah untuk mempertingkat laluan kerjaya dan peluang menajamkan kemahiran.

"Kami mahu menarik lebih ramai rakyat Singapura menyertai sektor pengilangan, di semua peringkat dan lebih-lebih lagi dalam peranan-peranan penting," kata Encik Chan, yang juga mengakui bahawa pekerjaan dalam sektor itu "bukan lagi tentang tugasan berulang yang biasa dilakukan dalam sekitaran berstruktur".

"Malah hari ini, cabaran terbesar bagi sektor kejuruteraan dan pengilangan canggih adalah berapa cepat kita dapat berinovasi dan mengeluarkan prototaip produk dan khidmat. Maka, cabarannya sangat menarik," tambah beliau.

Dalam lagi dua mata serampang strateginya, Pemerintah akan terus menarik "pelaburan-pelaburan dengan pulangan tinggi" ke dalam Singapura dan mempersiap keupayaan perusahaan tempatan dalam pengilangan canggih.

Akur bahawa pandemik COVID-19i mempercepat kebanyakan trend gangguan yang dihadapi sektor itu, Encik Chan berkata ia membuka peluang bagi Singapura untuk menyusun semula kedudukannya dalam sektor pengilangan.

"Lebih daripada memenuhi sasaran pertumbuhan kuantitatif ini, yang lebih penting adalah kita mahu melihat perubahan kualitatif dalam sektor pengilangan Singapura, di mana kita dapat menggunakan data dan kuasa pengkomputeran terkini untuk membantu mempercepat rekaan semula produk dan khidmat, (serta) sistem-sistem pengeluaran, supaya kita boleh meraih sebahagian besar pasaran yang amat bergantung kepada pengetahuan dan tidak mudah digantikan oleh orang lain berdasarkan kos rendah," kata beliau.

"Meskipun tenaga kerja mungkin berkurangan sedikit dalam sektor pengilangan, jenis kerja yang ditawarkan dalam sektor pengilangan akan lebih bermutu tinggi dan lebih menarik."  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan