Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura peruntuk S$30 juta bagi pusat latihan keselamatan siber serantau

Singapura bakal memperuntukkan S$30 juta bagi lima tahun akan datang untuk membiayai sepenuhnya Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE) yang bakal ditubuhkan untuk membantu meningkatkan keupayaan negara-negara anggota Asia Tenggara.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura peruntuk S$30 juta bagi pusat latihan keselamatan siber serantau

(Gambar hiasan: Kacper Pempel/Reuters)

Diterbitkan : 19 Sep 2018 01:03PM Dikemas Kini : 19 Sep 2018 01:06PM

SINGAPURA: Singapura bakal memperuntukkan S$30 juta bagi lima tahun akan datang untuk membiayai sepenuhnya Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE) yang bakal ditubuhkan untuk membantu meningkatkan keupayaan negara-negara anggota Asia Tenggara.

Satu lembaran fakta yang dikeluarkan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) hari ini (19 Sep), menyatakan bahawa ASCCE akan memenuhi tiga fungsi utama:

  • Pusat Pakar dan Latihan Siber

Untuk menjalankan penyelidikan dan menyediakan latihan dalam bidang-bidang yang meliputi undang-undang antarabangsa, strategi siber, konflik siber, perundangan, norma-norma siber dan isu-isu dasar keselamatan siber lain

  • Pusat pasukan respons kecemasan komputer kebangsaan (CERT)

Untuk menyediakan latihan yang relevan bagi CERT serta pertukaran maklumat dan amalan-amalan terbaik berkaitan dengan ancaman siber

  • Pusat latihan rangkaian siber (cyber range)

Untuk menyampaikan latihan pertahanan maya bagi kesemua negara anggota ASEAN

Lambaran faktu itu turut menyatakan bahawa negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog dipersilakan untuk menyumbang kepada pembiayaan dana atau mana-mana program dan bengkel ASCCE dalam bentuk kewangan mahupun mengerahkan jurulatih-jurulatih mereka.

Dalam ucapannya di Sidang Menterii ASEAN mengenai Keselamatan Siber pada Rabu (19 Sep), Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber S Iswaran mengatakan pusat itu akan ditubuhkan tahun depan sebagai lanjutan kepada Program Keupayaan Siber ASEAN.

Beliau menambah, pusat itu ditubuhkan untuk mendidik tentang dasar, strategi, perundangan serta operasi bagi membuktikan komitmen pemerintah terhadap usaha-usaha menyelaraskan diplomasi siber dengan isu-isu operasi.

Encik Iswaran juga berkata, Australia, Kanada, Korea Selatan, New Zealand, Kesatuan Eropah, Britain dan Amerika Syarikat sudah "menyuarakan minat" untuk bekerjasama dengan Singapura bagi membangunkan dan menjalankan program-program di bawah ASCCE.

Lembaran fakta itu menyatakan bahawa tarikh pelancaran yang disasarkan adalah pada suku kedua tahun depan, dan satu panel penasihat antarabangsa terdiri daripada wakil kanan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa akan dibentuk untuk memberi nasihat tentang program-program yang diusulkan.

Di samping itu, satu jawatankuasa program antarabangsa akan membantu melakarkan kurikulum latihan dan membangunkan metrik untuk mengenal pasti keperluan-keperluan latihan serta kaedah untuk mengukur keberkesanan program-program yang dijalankan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan