Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura pertimbang amalan tempatan apabila kaji bayaran untuk beg plastik pakai buang

Dalam mengkaji cara terbaik untuk mengenakan bayaran bagi beg plastik pakai buang, Pemerintah akan menimbangkan konteks tempatan, termasuk amalan semasa menggunakan semula beg pembawa pakai buang untuk sampah.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura pertimbang amalan tempatan apabila kaji bayaran untuk beg plastik pakai buang
Diterbitkan : 10 May 2021 11:22PM Dikemas Kini : 10 May 2021 11:24PM

SINGAPURA: Dalam mengkaji cara terbaik untuk mengenakan bayaran bagi beg plastik pakai buang, Pemerintah akan menimbangkan konteks tempatan, termasuk amalan semasa menggunakan semula beg pembawa pakai buang untuk sampah.

Ia juga akan meneroka sebarang kesan berpotensi dalam mengenakan bayaran kepada kumpulan-kumpulan mudah terjejas seperti keluarga berpendapatan rendah selain merujuk kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga serta agensi-agensi perkhidmatan sosial berhubung langkah-langkah pengurangan yang boleh diambil. Demikian kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor di Parlimen pada Isnin (10 Mei).

Beliau memberi respons kepada soalan-soalan daripada para anggota parlimen tentang mengenakan bayaran bagi beg plastik sekali guna.

Dr Khor berkata pada 2020, Singapura membuang sekitar 200,000 tan plastik pakai buang seperti beg pembawa dan bekas membungkus makanan - cukup untuk mengisi kira-kira 400 kolam renang bersaiz Olimpik.

“Penggunaan berlebihan plastik pakai buang adalah tidak mampan dan boleh dielakkan sekiranya semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk mengubah minda, tabiat dan sikap," kata Dr Khor. Beliau menambah Kumpulan Kerja Warganegara untuk Mengurangkan Penggunaan Berlebihan Plastik Pakai Buang sudahpun mencadangkan untuk mengenakan bayaran bagi beg sekali pakai.

Beliau menarik perhatian bahawa banyak bidang kuasa luar negara termasuk Hong Kong, Ireland dan United Kingdom sudahpun melaksanakan beg pakai buang dengan hasil "positif".

Singapura juga sudah bereksperimen dengan bayaran beg plastik. Misalnya, inisiatif Tiada Beg Plastik sepanjang tahun lalu di 25 pasar raya dan kedai runcit berjaya menjimatkan lebih 15 juta beg plastik.

"Dalam membangunkan model yang sesuai untuk mengenakan bayaran bagi beg pakai buang di pasar raya, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mengkaji contoh dari luar negara dan berunding dengan pihak berkepentingan utama serta orang awam," katanya.

Ini termasuk jumlah yang akan dikenakan, sama ada bayaran akan dikenakan bagi setiap urus niaga atau setiap beg, daripada beg pertama atau ketiga, garis waktu pelaksanaannya serta bagaimana hasilnya itu akan digunakan.

Selain amalan menggunakan beg plastik pakai buang untuk sampah dan kesannya kepada kumpulan-kumpulan mudah terjejas, kementerian itu juga akan berunding dengan para pengendali pasar raya dalam perkara berhubung mengenakan bayaran itu bagi penghantaran ke rumah dan melatih kakitangan pasar raya bagi mengurangkan penggunaan pembungkus.

Ia menyasarkan untuk menyelesaikan rundingannya selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Sisa platik di Singapura sama ada dikitar semula atau dihantar ke loji pembakar sisa untuk dan tidak ditanam secara langsung.

"Oleh kerana manfaat alam sekitar dalam menggunakan beg plastik yang boleh diurai secara biologi tidak dialami di Singapura, kami tidak mempunyai rancangan untuk mendorong penggunaannya berbanding beg plastik konvensional," kata Dr Khor.

"Setiap jenis bahan pembungkus menghasilkan kesan persekitaran yang berbeza seperti pelepasan karbon dan penggunaan air.

“Daripada menggantikan plastik pakai buang dengan bahan buangan yang diperbuat daripada bahan lain, seperti plastik yang boleh diurai secara biologi (biodegradable), pendekatan lebih mampan adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan pakai buang yang berlebihan."

Namun, Dr Khor mengatakan bahawa bayaran itu sahaja bukanlah huraian kepada semua masalah. Meningkatkan pendidikan dan kesedaran masyarakat, "mendorong tingkah laku" serta bekerjasama dengan pengeluar dan peruncit untuk mengurangkan penggunaan bungkusan juga penting, tekan beliau.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan