Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura perlukan lagi 1.2 juta pekerja berkemahiran digital jelang 2025

Menjelang 2025, ekonomi Singapura mungkin memerlukan lagi 1.2 juta pekerja yang berkemahiran digital.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura perlukan lagi 1.2 juta pekerja berkemahiran digital jelang 2025

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 26 Feb 2021 12:42PM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 12:48PM

SINGAPURA: Menjelang 2025, ekonomi Singapura mungkin memerlukan lagi 1.2 juta pekerja yang berkemahiran digital. Ia satu peningkatan sebanyak 55 peratus berbanding 2.2 juta daripada tenaga kerja yang sekarang ini menggunakan kemahiran digital mereka dalam pekerjaan masing-masing, menurut satu tinjauan.

Dapatan itu didedahkan dalam satu laporan kemahiran digital berdasarkan tinjauan yang dijalankan dalam kalangan enam ekonomi Asia Pasifik yang ditugaskan oleh Amazon Web Services.

Laporan itu yang dikeluarkan pada Khamis (25 Feb), meninjau para pekerja di Australia, India, Indonesia, Jepun, Singapura dan Korea Selatan bagi mengkaji bagaimana mereka mungkin terjejas oleh cabaran-cabaran kemahiran digital pada hari muka.

Daripada saiz sampel seramai lebih 3,000 responden dari enam negara, 543 responden ditinjau di Singapura.

Buat masa ini, lebih 63 peratus pekerja Singapura sudahpun menggunakan kemahiran digital mereka dalam pekerjaan masing-masing, meletakkan negara ini di tempat kedua dalam kalangan enam ekonomi yang ditinjau. Australia mendahului senarai itu dengan mencatatkan 64 peratus.

Sekitar satu daripada lima pekerja di sini atau kira-kira 22 peratus, menggunakan kemahiran digital lanjutan, iaitu jumlah yang tertinggi dalam kalangan enam negara yang ditinjau. Korea Selatan pula menduduki tempat kedua dalam bidang itu dengan 21 peratus.

Laporan itu menganggarkan pekerja biasa di rantau ini perlu menimba tujuh kemahiran digital yang baru untuk terus kekal relevan dengan perkembangan dan kemajuan teknologi.

Lagi 1.2 juta pekerja berkemahiran digital yang diperlukan Singapura akan tergolong dalam tiga kumpulan ini:

- Pekerja yang tidak menggunakan sebarang kemahiran digital dalam pekerjaan mereka

- Penganggur atau individu tidak bekerja yang perlu mendapatkan pekerjaan baru menjelang 2025

- Pekerja masa hadapan, misalnya, pelajar yang akan mula bekerja menjelang 2025

Laporan itu juga menganggarkan tenaga kerja Singapura memerlukan sebanyak 23.8 juta sesi latihan kemahiran digital dari sekarang hingga 2025 untuk melengkapi 2.2 juta pekerja yang bertugas sekarang dengan kemahiran digital tambahan.

Laporan itu turut menyarankan supaya Singapura:

- memperluaskan kursus-kursus latihan profesional sambilan bagi melatih pekerja digital yang ada sekarang dengan kemahiran pengkomputeran awan lanjutan dan penciptaan kandungan digital

- menawarkan insentif untuk merubah minda majikan ke arah usaha menajamkan kemahiran sebagai pilihan pertama

- menerapkan pemikiran kreatif sebagai sebahagian daripada pendidikan kemahiran digital

- menerapkan kemahiran keselamatan siber dan pengkomputeran awan sebagai komponen utama dalam kurikulum pengajian tinggi

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan