S'pura perlu berusaha bantu syarikat ubah perniagaan, tingkatkan kemahiran pekerja
Singapura perlu terus berusaha membantu syarikat-syarikat tempatan bagi mengubah perniagaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.
SINGAPURA: Singapura perlu terus berusaha membantu syarikat-syarikat tempatan bagi mengubah perniagaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.
Ia perlu dilakukan sungguhpun data terkini menunjukkan pekerjaan dan kenaikan pendapatan kembali ke paras sebelum pandemik COVID-19.
Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng berkata Singapura masih belum pulih sepenuhnya daripada COVID-19 apatah lagi dengan kebimbangan berkaitan varian baru Omicron yang mungkin menjejas pemulihan ekonomi.
Semasa melawat Hotel Raffles, Dr Tan berkata Singapura mesti mengambil pendekatan jangka panjang dari sudut untuk mengubah industri dan peranan pekerja walaupun prospek ekonomi kelihatan positif.
Perangkaan terkini tenaga kerja menunjukkan kadar pekerjaan pada Jun lalu ialah 67 peratus berbanding 64.5 peratus setahun lalu.
Gaji pekerja tempatan juga bertambah, walaupun terjejas oleh kenaikan inflasi.
Pendapatan median nominal naik lebih 3 peratus pada Jun lalu selepas turun 0.6 peratus pada tahun 2020.
Penurunan itu yang pertama dalam masa 16 tahun dan disebabkan pandemik.
"Saya terutamanya berbesar hati kerana para pekerja sepenuh masa dalam golongan 20 persentil, pendapatan sebenar mereka juga sudah pulih ke paras sebelum COVID.
"Bahkan, ia melepasi paras sebelum COVID apabila mengambil kira bayaran-bayaran berkaitan Tambahan Pendapatan Daya Kerja. Saya percaya trend ini akan berterusan," kata Dr Tan.
Keadaan pengangguran juga semakin baik.
Kadarnya turun daripada 6.4 peratus pada Jun 2020 kepada 5 peratus.
Namun menurut MOM kadar itu masih tinggi dan beberapa pekerja yang diberhentikan sukar dapat kerja baru.
Dr Tan menganjurkan para pekerja dan majikan agar memanfaatkan geran-geran dan program untuk belajar kemahiran baru dan kekal relevan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.