Skip to main content

Singapura

S'pura perkenal strategi AI bagi raih manfaat sosial, ekonomi 'berkesan'

Menjelang 2022, penduduk Singapura boleh melaporkan isu-isu perbandaran melalui 'chatbot' yang meminta maklumat dalam masa nyata dan berupaya mengenal pasti agensi-agensi pemerintah yang relevan secara automatik.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Nov 2019 05:32PM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 09:31PM

SINGAPURA: Menjelang 2022, penduduk Singapura boleh melaporkan isu-isu perbandaran melalui 'chatbot' yang meminta maklumat dalam masa nyata dan berupaya mengenal pasti agensi-agensi pemerintah yang relevan secara automatik.

Ini dapat dilakukan menerusi kecerdasan buatan (AI), yang dijangka akan memacu sejenis alat yang berupaya membantu mengesan penyakit mata yang ada kaitan dengan kencing manis dan sistem pemarkahan automatik bagi subjek bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dan menengah pada tahun yang sama.

Lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan teknologi AI, seperti pembelajaran mesin dan visi komputer, turut dirancangkan sepanjang 10 tahun akan datang, berdasarkan lima projek yang diumumkan pada Rabu (13 Nov) sebagai sebahagian daripada "Strategi AI Negara" yang baru bagi Singapura.

Strategi baru itu melakarkan bagaimana Singapura akan membangunkan dan menggunakan AI untuk merubah ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat dan ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada hari terakhir Persidangan “Singapore FinTech Festival (SFF) x the Singapore Week of Innovation and TeCHnology (SWITCH)”.

Menyifatkannya sebagai langkah seterusnya dalam Perjalanan Negara Bijak Singapura, Encik Heng berkata: "Negara-negara perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan memanfaatkannya untuk menangani cabaran dan keutamaan negara."

"Singapura bersedia untuk melaksanakan AI secara berskala di peringkat nasional," kata DPM Heng, sambil menambah bahawa Pemerintah sudah memperuntukkan lebih S$500 juta untuk membiayai kegiatan AI di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2020.

Sebagai permulaan, Singapura akan memulakan lima projek peringkat nasional yang meliputi bidang pengangkutan dan logistik, bandar dan estet bijak, penjagaan kesihatan, pendidikan serta keselamatan..

Projek-projek ini bertujuan untuk menggunakan AI dalam menangani cabaran-cabaran utama negara dan menjana "manfaat sosial dan ekonomi yang berkesan buat rakyat Singapura", menurut kenyataan media oleh Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO).

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita