S'pura perhebat vaksinasi dos penggalak di tengah keprihatinan varian Omicron
Singapura perlu memperhebatkan program vaksinasi dos penggalak COVID-19 demi mempertingkat perlindungan daripada jangkitan dan sakit teruk di tengah-tengah keprihatinan terhadap varian Omicron, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (14 Dis).

(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Singapura perlu memperhebatkan program vaksinasi dos penggalak COVID-19 demi mempertingkat perlindungan daripada jangkitan dan sakit teruk di tengah-tengah keprihatinan terhadap varian Omicron, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (14 Dis).
Data awal dari luar negara menunjukkan para individu sudah divaksin yang menerima suntikan dos penggalak mempunyai "tahap perlindungan yang lebih ketara" terhadap jangkitan varian Omicron, menurut MOH.
Sekalipun terjangkit selepas mendapatkan dos penggalak, orang ramai mempunyai perlindungan yang lebih ketara daripada terkena sakit teruk yang memerlukan rawatan di hospital.
Singapura mengesan 16 kes varian Omicron setakat ini, yang merangkumi 14 kes import dan dua kes dalam negeri. Menurut MOH, kesemua kes sudah lengkap divaksin dan tidak mengalami sebarang gejala atau setakat gejala ringan saja.
Sebanyak 13 kes sedang beransur pulih di wad-wad pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) manakala tiga kes sudahpun dibenarkan pulang, menurut MOH. Sejauh ini, kesemua kes mempunyai "paras interaksi yang minimum dalam masyarakat" sebelum mereka diasingkan.
"Kami belum lagi mengesan kes berhubung kait dalam masyarakat," kongsi kementerian itu lagi.
"Pengesanan kontak sedang giat dijalankan untuk membendung kontak rapat kes-kes tersebut dan mengurangkan penularan lanjut sebaik sahaja jangkitan varian Omicron disyaki, dengan mengesan kegagalan gen-S dalam hasil ujian mereka. Ini termasuk kuarantin di kemudahan-kemudahan yang ditetapkan."
Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) kemudian mengesahkan jangkitan varian Omicron menerusi penjujukan genom pada sampel ujian.
Meskipun penularan varian berkenaan dalam kalangan masyarakat belum dikesan setakat ini, Singapura mesti bersiap sedia menghadapi senario itu, kata pengerusi bersama Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19, Encik Gan Kim Yong di sidang media jawatankuasa itu pada Selasa.
"Berdasarkan pengalaman negara-negara lain, hanya menunggu masa sebelum ia berlaku di sini. Ia mungkin akan mencetuskan lonjakan kes baru disebabkan oleh ciri-ciri varian Omicron yang sangat mudah berjangkit," kata beliau.
PENTING SUNTIKAN DOS PENGGALAK
Varian Omicron kini sudah dikesan di lebih 60 negara, tambah Encik Gan lagi.
Berdasarkan pemerhatian semasa terhadap situasi di negara dan wilayah yang terjejas, ia membayangkan bahawa varian Omicron sekurang-kurangnya boleh menular sama pantas seperti varian-varian lain, termasuk varian Delta.
"Pemerhatian di peringkat global terus membayangkan bahawa sebahagian besar jangkitan varian Omicron adalah tidak bergejala atau mengalami gejala ringan, walaupun ia masih kurang jelas sama ada Omicron secara keseluruhannya menyebabkan penyakit yang kurang teruk berbanding varian-varian lain," MOH menjelaskan.
Kajian awal berdasarkan keadaan sebenar di dunia menunjukkan "pengelakan imun" yang boleh meningkatkan risiko terjangkit semula dalam kalangan mereka yang sudah pulih atau lengkap divaskin.
"Maka itu, suntikan dos penggalak diperlukan untuk meningkatkan daya imun seseorang dan mengurangkan sebarang kesan pengelakan imun. Kita akan terus memantau dengan teliti dan menilai situasi apabila lebih banyak data tersedia kelak," tambah kementerian itu lagi.
Vaksinasi dan dos penggalak adalah perlindungan terbaik terhadap "varian COVID-19 yang kurang diketahui dan kemungkinan besar mudah berjangkit seperti varian Omicron".
Kementerian Kesihatan (MOH) pada minggu lalu mengumumkan bahawa ia akan memperluaskan vaksinasi kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. Program dos penggalak juga akan diperluaskan untuk merangkumi mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun.
Menerangkan betapa pentingnya suntikan dos penggalak, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung memberitahu sidang media tersebut bahawa kajian yang dijalankan di United Kingdom baru-baru ini mendedahkan beberapa "pencerahan penting".
Setelah menerima dua dos vaksin Pfizer-BioNTech, keberkesanan terhadap jangkitan Omicron merosot daripada kira-kira 90 peratus sebulan selepas suntikan dos kedua, kepada sekitar 50 peratus selepas tiga bulan, dan kemudian 35 peratus selepas empat bulan dan lebih dari itu, kongsi Encik Ong.
"Tahap perlindungan akan merosot dengan agak pantas," tambah beliau.
Dua minggu selepas menerima dos penggalak, keberkesanan terhadap jangkitan Omicron melonjak kembali kepada 75 peratus, dan ini "menggalakkan", kata Encik Ong.
"Ini bermakna dos penggalak berkesan dan ia adalah perlindungan terhadap jangkitan bergejala," kata beliau sambil menambah bahawa perlindungan daripada sakit teruk juga kemungkinan besar lebih tinggi.
"Inilah sebabnya vaksinasi akan terus menjadi benteng pertahanan kita."
MOH menyatakan data tempatan dan antarabangsa menunjukkan risiko tindak balas alahan seperti anafilaksis daripada dos penggalak vaksin mRNA adalah lebih rendah.
"Setelah mengambil kira perkara ini, kita akan memperhalusi proses mentadbirkan dos penggalak vaksin mRNA, dengan mengurangkan tempoh pemantauan selepas vaksinasi dari 30 minit kepada 15 minit," kongsi MOH.
MEMENDEKKAN TEMPOH PENGECUALIAN SELEPAS PEMULIHAN
Mulai 1 Januari tahun depan, individu yang belum lengkap divaksin dan sudah pulih daripada COVID-19 akan hanya diberikan tempoh pengecualian selama 180 hari selepas terjangkit untuk memasuki persekitaran di mana langkah-langkah keselamatan vaksinasi berdasarkan status vaksinasi dilaksanakan, menurut kementerian itu lagi.
Ia disingkatkan daripada tempoh pengecualian selama 270 hari yang dikuatkuasakan sekarang ini. Tempoh pengecualian akan dihitung dari tarikh hasil positif pertama ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dijalankan di Singapura.
"Penyesuaian itu dilakukan disebabkan oleh kebimbangan terhadap penularan dan risiko terjangkit semula varian Omicron yang lebih tinggi, dan perlindungan yang lebih cepat berkurangan yang berpunca daripada jangkitan lama," jelas MOH.
"Individu yang sudah pulih tetapi belum divaksin sepenuhnya perlu melengkapkan rejimen vaksinasi pertama mereka secepat mungkin."
Tempoh pengecualian bagi individu belum divaksin yang pulih daripada COVID-19 sebelum 1 Jan 2022 juga akan disingkatkan dari 270 kepada 180 hari.
Bagi golongan yang sudah melebihi tempoh 180 hari dari 1 Jan 2022, mereka akan diberikan tempoh tangguh selama sebulan sehingga hujung Januari untuk melengkapkan rejimen vaksinasi siri pertama mereka.
Individu yang sudah pulih hanya memerlukan satu dos vaksin mRNA COVID-19 atau dua dos vaksin Sinovac di bawah program vaksinasi negara untuk memenuhi rejim vaksinasi siri pertama mereka sebelum 17 Januari tahun depan, jelas MOH.
Ini akan membolehkan jarak selang 14 hari dari selesai rejimen untuk dianggap sudah lengkap divaksin.
"Semasa tempoh tangguh dari tarikh di mana mereka sudah melepasi tempoh 180 hari, individu-individu ini boleh menunjukkan memo dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan COVID-19 untuk memasuki persekitaran VDS," tambah MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.