Skip to main content

Singapura

S'pura pendekkan tempoh antara dua suntikan vaksin COVID-19 ke 4 minggu

Singapura pada Selasa (29 Jun) memendekkan jarak antara dos pertama dengan kedua vaksin COVID-19 menjadi empat minggu, sebagai sebahagian usaha untuk memastikan lebih ramai penduduk akan diberi vaksin lebih awal.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura pendekkan tempoh antara dua suntikan vaksin COVID-19 ke 4 minggu

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 29 Jun 2021 11:28PM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 11:32PM

SINGAPURA: Singapura pada Selasa (29 Jun) memendekkan jarak antara dos pertama dengan kedua vaksin COVID-19 menjadi empat minggu, sebagai sebahagian usaha untuk memastikan lebih ramai penduduk akan diberi vaksin lebih awal.

Sebelum ini, tempoh tunggu minimum antara dua suntikan vaksin adalah enam hingga lapan minggu.

Langkah ini bagi vaksin Pfizer-BioNTech atau Comirnaty, dan Moderna.

Semua individu yang layak dan membuat janji temu vaksinasi mulai Selasa boleh menjadualkan janji temu dos pertama dan kedua mereka dengan jarak empat minggu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya.

Mereka yang sudah menerima dos pertama dan janji temu dos kedua mereka dijadualkan dalam tempoh enam hingga lapan minggu boleh membuat janji temu baru bagi dos kedua lebih awal ke empat minggu.

Mereka boleh melakukannya dengan menggunakan pautan tempahan peribadi yang sama dalam SMS yang mereka terima sebelumnya, jelas MOH.

Penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang di Singapura yang berusia 12 hingga 39 tahun juga boleh mendapatkan vaksinasi mereka pada 30 Jun, tambah Kementerian Kesihatan, iaitu lebih awal daripada 2 Julai yang diumumkan sebelum ini.

Ini disebabkan kadar pengambilan vaksin yang berterusan oleh warga Singapura dan pendaftaran baru dari warga berusia 12 hingga 39 tahun yang semakin berkurangan, tambah MOH.

Individu tersebut boleh mendaftarkan minat mereka secara online menerusi vaksin.gov.sg. Setelah mendaftar, mereka akan dipelawa untuk membuat janji temu melalui SMS dengan pautan tempahan peribadi yang dihantar ke nombor telefon bimbit yang mereka daftarkan. Mereka boleh menempah dua janji temu, dengan jarak empat minggu, mulai 30 Jun.

LEBIH 5.3 JUTA DOS VAKSIN COVID-19 DIAGIH

Sehingga 28 Jun, lebih 5.3 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penduduk, menurut MOH.

Sekitar 3.3 juta orang, iaitu sekitar 60 peratus penduduk Singapura, sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin mereka. Sebanyak 2.1 juta individu kesemuanya sudah menerima dos kedua dan menyelesaikan vaksinasi sepenuhnya.

Menurut MOH "kadar pengambilan" vaksin amat menggalakkan. Sehingga 28 Jun, sekitar 76 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas yang layak, 78 peratus penduduk berusia 45 hingga 59 tahun, serta 73 peratus dalam golongan 40 hingga 44 tahun telah menerima vaksinasi COVID-19 atau menempah janji temu mereka.

Hampir 80 peratus warga Singapura berusia 12 tahun hingga 39 tahun, termasuk pelajar Kementerian Pendidikan, sudah menerima vaksinasi mereka atau membuat janji temu.

Sejak 24 Jun, sekitar 50,000 telah mempercepat tarikh janji temu bagi dos pertama mereka.

"Kami sangat menggalakkan warga Singapura berusia 12 hingga 39 tahun yang belum mendaftar dan membuat janji temu untuk melakukannya dengan segera, agar mereka dapat dilindungi daripada COVID-19 seawal mungkin," nasihat MOH.

Ia menambah bahawa vaksinasi tetap menjadi kunci utama dalam usaha memerangi COVID-19 dan kemampuannya untuk membantu Singapura dibuka semula dengan selamat "hanya dapat dirasakan apabila kita secara bersama dapat mencapai perlindungan yang tinggi bagi penduduk untuk divaksinasi".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita