Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura naikkan tahap penilaian risiko dari kuning ke jingga; sekolah akan gantung kegiatan antara sekolah, kegiatan luar

Singapura pada Jumaat (7 Feb) menaikkan tahap Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) selepas beberapa kes jangkitan virus korona baru yang tiada kaitan dengan kes-kes lalu atau mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China dikesan di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Feb 2020 07:35PM Dikemas Kini : 07 Feb 2020 10:37PM

SINGAPURA: Singapura pada Jumaat (7 Feb) menaikkan tahap Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) selepas beberapa kes jangkitan virus korona baru yang tiada kaitan dengan kes-kes lalu atau mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China dikesan di sini.

Berkuat kuasa hari ini, sekolah-sekolah di Singapura akan menggantung kegiatan-kegiatan antara sekolah dan juga kegiatan-kegiatan luar sehingga selepas cuti sekolah pada Mac, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Ini termasuk pertandingan peringkat nasional, jejak kembara dan kegiatan-kegiatan perkhemahan. Semua sekolah dan para guru akan terus melaksanakan langkah-langkah yang sudah dipertingkatkan seperti perhimpunan dalam bilik darjah.

"Saya faham rakyat Singapura rasa gelisah, prihatin dan masih banyak lagi yang belum kita tahu tentang virus ini," kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong semasa taklimat media diadakan petang tadi.

"Maklumat baru timbul setiap hari, kami menjangkakan ia akan mengambil masa untuk menghuraikannya, mungkin selama berbulan-bulan, kehidupan kita harus diteruskan seperti biasa tetapi kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya."

Beliau menambah: "Kita akan melakukan yang terbaik untuk mengawal keadaan dan melindungi keselamatan rakyat Singapura."

Cara Singapura menangani penularan wabak seperti virus korona baru adalah berdasarkan panduan DORSCON. Sistem kod warna - yang berdasarkan kategori warna hijau, kuning, jingga dan merah - menunjukkan keadaan semasa. Ia juga menunjukkan apakah yang perlu dilakukan untuk mencegah dan mengurangkan kesan jangkitan.

DORSCON warna jingga bermakna penularan penyakit itu dianggap memudaratkan dan boleh berjangkit dari manusia ke manusia dengan mudah meskipun ia belum merebak dengan meluas dan keadaannya terkawal.

"Ini sebenarnya bukan kali pertama kita mengubah tahap DORSCON dan menaikkannya ke paras warna jingga," kata Profesor Madya Kenneth Mak, pengarah khidmat perubatan di MOH.

"Sebelum ini, ia membabitkan penularan H1N1 yang menular di banyak negara di merata dunia, kami juga melakukan perkara yang sama."

Beliau menambah: "Apabila kami berjaya memahami penyakit itu dengan lebih baik dan mendalam dan menyedari bahawa tingkah lakunya sama seperti jenis influenza yang lain, ia memberikan peluang kepada kami untuk menilai semula risiko yang dikaitkan dengan jangkitannya pada penduduk negara ini dan menurunkan tahap DORSCON ke paras yang sewajarnya dan akhirnya ke paras normal."

Pengumuman itu dibuat selepas tiga kes baru disahkan pada Jumaat, dengan ketiga-tiga kes tersebut tiada kaitan langsung dengan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini atau pernah melakukan perjalanan ke tanah besar China.

Dengan tahap DORSCON berwarna jingga, MOH akan memperkenalkan langkah-langkah pencegahan yang baru.

"Kami sudah berikhtiar bagi senario seumpama itu yang melibatkan jangkitan dalam kalangan masyarakat tempatan," menurut MOH lagi.

Para penganjur acara-acara besar juga harus mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memeriksa suhu badan, mengesan gejala pernafasan seperti batuk, selesema dan mereka yang tidak sihat. Para individu yang tidak sihat atau pernah melakukan perjalanan ke tanah besar China tidak seharusnya menghadiri acara-acara sedemikian.

MOH juga menggesa para penganjur supaya membatalkan atau menangguhkan acara-acara besar yang tidak penting. Di tempat kerja pula, para majikan seharusnya menggalak pekerja mereka untuk memeriksa suhu badan dengan kerap dan memerhatikan sendiri sama ada mereka mengalami sebarang masalah pernafasan.

PENCEGAHAN DI TEMPAT KERJA

Suhu badan harus diperiksa sekurang-kurangnya dua kali sehari dan sesiapa saja yang demam atau tidak sihat harus segera meninggalkan pejabat dan berjumpa doktor. Para majikan juga perlu meningkatkan pelan luar jangka masing-masing dan bersiap sedia menghadapi jangkitan dalam kalangan masyarakat.

Pelan-pelan sedemikian turut memberikan kelonggaran untuk berurusan melalui telefon atau membahagikan tenaga kerja kepada kumpulan-kumpulan yang diasingkan. MOH akan menjalankan pemeriksaan suhu badan dan kawalan yang lebih ketat di pintu-pintu masuk hospital.

Hospital-hospital juga akan memperkenalkan langkah-langkah untuk menjaga pesakit yang mengalami pneumonia atau radang paru-paru dan secara berasingan daripada para pesakit lain bagi mengurangkan risiko jangkitan. Prasekolah dan khidmat jagaan sosial dan warga tua juga akan menghadkan pengunjung ke premis masing-masing.

DORSCON turut mengambil kira keadaan semasa bagi penyakit berkenaan di luar negara dan sejauh mana ia mudah berjangkit dan kesannya terhadap masyarakat tempatan.

Pelan pengurusan krisis belum wujud pada 2003 tetapi ia dilakarkan selepas wabak Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) dan diperhalusi sekali lagi selepas wabak H1N1 pada 2009. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan