S'pura meterai perjanjian ruang udara terbuka dengan Peru
Singapura memeterai satu perjanjian ruang udara terbuka dengan Peru, umum Kementerian Pengangkutan (MOT).
Gambar fail Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar: CAG)
SINGAPURA: Singapura memeterai satu perjanjian ruang udara terbuka dengan Peru, umum Kementerian Pengangkutan (MOT).
Di bawah perjanjian yang dimeterai semalam (16 Okt), syarikat penerbangan kedua-dua negara boleh membawa sebarang jumlah penumpang dan kargo antara kedua-dua negara tersebut, serta ke negara lain, tanpa sebarang sekatan ke atas kapasiti, frekuensi, jenis pesawat dan perjalanan.
Pesawat muatan dari kedua-dua negara juga boleh menggunakan hab satu sama lain bagi operasi ke negara lain, menurut kementerian itu.
Dengan adanya perjanjian ini, Singapura sudah berhasil memeterai perjanjian khidmat udara dengan lebih 140 negara dan wilayah, di mana 70 peratus daripadanya adalah perjanjian ruang udara terbuka.
Perjanjian itu dimeterai Pengarah Kanan MOT bagi Hubungan dan Keselamatan Antarabangsa Encik Bernard Lim dan Naib Menteri Pengangkutan Peru Carlos Cesar Arturo Estremadoyro Mory.
"Kami berbesar hati dapat memeterai perjanjian ruang udara terbuka ini, yang melancarkan lagi khidmat penerbangan antara dan luar Singapura dan Peru," kata Encik Lim, sambil menambah bahawa perjanjian itu bukti hubungan dua hala kukuh antara kedua-dua negara.
"Perjanjian itu akan membuka peluang-peluang baru bagi syarikat-syarikat penerbangan kami dan meningkatkan ketersambungan bagi para penduduk serta pengiriman barangan. Ia juga bermanfaat dan dapat membantu memacu perniagaan, pelancongan dan pertukaran ekonomi antara kedua-dua negara kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.