S'pura mesti manfaatkan kajian bahan untuk rebut peluang baru, kata DPM Heng
Singapura berkemahiran dalam bidang penyelidikan bahan tetapi negara ini mesti terus menjalin dan mengukuhkan kerjasama global untuk merebut peluang-peluang baru, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (24 Jun).
SINGAPORE: Singapura berkemahiran dalam bidang penyelidikan bahan tetapi negara ini mesti terus menjalin dan mengukuhkan kerjasama global untuk merebut peluang-peluang baru, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (24 Jun).
Semasa berucap di perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Bahan bagi Teknologi Lanjutan, Encik Heng menggesa universiti-universiti dan institut-institut penyelidikan supaya meneruskan kerja mereka dengan fakulti dan syarikat antarabangsa.
Ini bagi memastikan negara ini dapat mengekalkan bekalan bakat penyelidikan yang kukuh dan bekalan bahan-bahan baru yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk.
"Secara bersama, kita dapat memikirkan cara-cara baru untuk memanfaatkan sains untuk membangunkan huraian yang inovatif dan membantu industri memanfaatkannya, sekaligus memanfaatkan rakyat kita," kata Encik Heng.
Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan dan pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), turut menyentuh tentang pentingnya sains bahan bagi Singapura.
Beliau turut menarik perhatian kepada pelaburan-pelaburan yang dibuat di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2020 (RIE 2020), dan bagaimana ia membantu para saintis penyelidikan dan jurutera di Singapura menghasilkan kajian bertaraf dunia dalam 2D ​​dan bahan nano yang boleh digunakan dalam membran, sensor dan mikroelektronik.
"Ini adalah bidang-bidang penting yang berupaya menjana perkembangan yang menarik," kata Encik Heng.
"Singapura mengaplikasikannya dalam bentuk teknologi yang mempunyai impak seperti sel solar, pengilangan bahan tambahan dan bateri."
Kemajuan dalam bidang tersebut juga memanfaatkan industri pengilangan negara, tambah Encik Heng, sambil menekankan bahawa ia merupakan sektor eksport terbesar Singapura yang menyumbang kira-kira 20 peratus kepada keluaran dalam negeri kasar hari ini.
"Kita mampu mencapai matlamat ini kerana universiti-universiti dan institut-institut penyelidikan A*STAR dapat menjalin kerjasama R&D dengan syarikat-syarikat global," kata beliau.
Persidangan selama lima hari yang dianjurkan oleh Persatuan Penyelidikan Bahan Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menghimpunkan lebih 3,000 wakil dari merata dunia, termasuk 850 saintis dan pakar terkemuka, untuk membincangkan cara-cara baru yang boleh dimainkan oleh bahan baru dalam membentuk dan memajukan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.