Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'masih sangat bimbang' tentang situasi di Myanmar: MFA

Singapura "masih sangat bimbang" tentang perkembangan baru-baru ini di Myanmar dan "kecewa dengan kurangnya kemajuan ketara" dalam melaksanakan lima perkara yang dipersetujui Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menamatkan krisis di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Dec 2021 08:05PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 09:04PM

SINGAPURA: Singapura "masih sangat bimbang" tentang perkembangan baru-baru ini di Myanmar dan "kecewa dengan kurangnya kemajuan ketara" dalam melaksanakan lima perkara yang dipersetujui Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menamatkan krisis di negara itu, kata seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (7 Dis).

“Kami menekankan sekali lagi gesaan untuk menghentikan keganasan, mengadakan dialog yang membina melibatkan semua pihak, dan menggesa pihak berkuasa tentera Myanmar untuk bekerjasama dengan Duta Khas ASEAN ke Myanmar untuk melaksanakan dengan pantas dan sepenuhnya lima perkara konsensus, termasuk dengan memudahkan lawatan Duta Khas ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan,” kata jurucakap itu.

“Singapura juga menggesa agar semua tahanan politik dibebaskan termasuk Daw Aung San Suu Kyi, U Win Myint dan tahanan-tahanan asing, dan menyeru pihak berkuasa tentera Myanmar mengelak daripada tindakan yang boleh memudaratkan perdamaian nasional dan pemulihan keamanan dan kestabilan di Myanmar.”

Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan terbaru di Myanmar.

Pada Isnin, pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan menghasut terhadap tentera dan melanggar sekatan COVID-19. Presiden yang digulingkan Win Myint juga dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan yang sama.

Hukuman mereka kemudian dikurangkan kepada dua tahun mendapat "pengampunan" oleh ketua junta Min Aung Hlaing.

Cik Aung San Suu Kyi, 76 tahun, ditahan sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan pemerintahnya pada 1 Februari, sekali gus menamatkan tempoh singkat demokrasi di negara itu. Beliau berdepan dengan banyak lagi dakwaan, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, mengimport alat walkie talkie secara haram serta penipuan pilihan raya.

Pihak junta telah meneruskan tindakan keras ke atas sebarang tentangan terhadap rampasan kuasa, dengan lima orang terbunuh pada Ahad selepas pasukan keselamatan menggunakan sebuah kereta untuk merempuh penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa di Yangon.

Pada April, pemimpin ASEAN bersetuju mengenai perlunya menghentikan segera keganasan di Myanmar selepas mesyuarat tergempar di Jakarta, yang turut dihadiri Min Aung Hlaing.

Para pemimpin mencapai kata sepakat dalam lima perkara: Menamatkan keganasan, dialog membina antara semua pihak, pelantikan utusan khas ASEAN untuk memudahkan dialog, memberi bantuan kemanusiaan dan lawatan utusan ke Myanmar.

Junta Myanmar bagaimanapun melarang utusan khas daripada bertemu dengan Aung San Suu Kyi.

ASEAN tidak mengundang Min Aung Hlaing ke sidang puncak pemimpin pada Oktober atas kegagalannya untuk melaksanakan kata sepakat itu. Satu sidang puncak ASEAN-China pada November juga diadakan tanpa wakil Myanmar.

Sumber : CNA/TQ/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan