S'pura, Maldives meterai 2 MOU luaskan khidmat hubungan udara, kukuhkan kerjasama dua hala
Singapura dan Maldives memeterai dua perjanjian bagi meluaskan hubungan perkhidmatan penerbangan dan mengukuhkan kerjasama dua hala.
SINGAPURA: Singapura dan Maldives memeterai dua perjanjian bagi meluaskan hubungan perkhidmatan penerbangan dan mengukuhkan kerjasama dua hala.
Upacara itu berlangsung di Istana sempena lawatan rasmi pertama Presiden Maldives Ibrahim Mohamed Solih ke negara ini.
Perjanjian Ruang Udara Terbuka membolehkan Singapura dan Maldives mengadakan khidmat penerbangan kargo dan penumpang tanpa batas antara kedua-dua negara serta ke negara-negara lain.
Ia ditandatangani Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min dan Menteri Luar Maldives Abdulla Shahid.
Dr Lam berkata perjanjian tersebut menandakan hubungan dua hala yang kukuh dan memberi manfaat kepada ekonomi kedua-dua negara.
Perjanjian kedua pula bertujuan mengukuhkan kerjasama dan pertukaran dua hala.
Presiden Halimah Yacob berkata: "Singapura dan Maldives terletak di tengah-tengah laluan perdagangan maritim tersibuk di dunia dan sangat terdedah kepada kuasa strategik, ekonomi serta sekitaran sejagat".
Maka itu, jelas beliau, perjanjian yang ditandatangani hari ini (1 Jul) antara menteri-menteri luar kedua-dua negara akan terus mengukuhkan kerjasama bukan sahaja secara dua hala tetapi di peringkat antarabangsa.
"Kita bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, perniagaan, keselamatan bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau Lautan Hindi bagi melawan pengganasan,menangani perubahan iklim dan membela nasib pulau-pulau kecil. Lawatan saya membuka peluang bagi kita untuk mengukuhkan lagi hubungan ini," ujar Presiden Ibrahim.
Singapura dan Maldives menjalin hubungan diplomatik pada 1975 dan sudahpun bekerjasama dalam beberapa bidang. Misalnya, Singapura menganjurkan lawatan belajar bagi Maldives dalam bidang pendidikan, kewangan, undang-undang serta pengurusan pelabuhan.
NAMA SEJENIS BUNGA ORKID SEMPENA PRESIDEN IBRAHIM
Atur cara lawatan Presiden Ibrahim hari ini juga termasuk kunjungan ke Taman Orkid Negara di Kebun Bunga.
Sebagai penghormatan kepada Presiden Maldives dan isterinya, bunga orkid kacukan Papilionanda diberi nama Ibrahim Mohamed Solih-Faznah Ahmed.
Pada sebelah petang tadi pula, Presiden Ibrahim melawat tapak pelupusan sampah Semakau untuk mempelajari pengalaman Singapura dalam pengurusan sampah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.