Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, M'sia mahu 'buka lebih banyak sempadan' meski varian Omicron jejas peluasan VTL: PM Lee

Singapura dan Malaysia mahu "buka lebih banyak sempadan" meskipun varian baru Omicron menjejas rancangan untuk memperluaskan laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) darat antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Nov 2021 04:50PM Dikemas Kini : 29 Nov 2021 08:45PM

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia mahu "buka lebih banyak sempadan" meskipun varian baru Omicron menjejas rancangan untuk memperluaskan laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) darat antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Nov).

Encik Lee dan rakan sejawatannya dari Malaysia Ismail Sabri Yaakob berucap di Istana pada hari pertama pembukaan laluan VTL darat dan udara antara Singapura dengan Malaysia. Encik Ismail Sabri sedang melakukan lawatan rasmi yang pertama ke Singapura.

Encik Lee berkata sasaran kedua-dua negara adalah untuk memperluaskan laluan VTL darat untuk meliputi pelawat biasa mulai pertengahan Disember, sambil mengambil kira situasi kesihatan awam.

Buat masa ini, pelawat harus merupakan rakyat, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang negara yang ingin dikunjungi.

Encik Ismail Sabri berkata mereka juga berbincang tentang rancangan memperluaskan VTL darat kepada khidmat bas di Link Kedua Tuas, kereta api kendalian Keretapi Tanah Melayu dan "secara beransur-ansur" kenderaan peribadi seperti kereta dan motosikal.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan rancangan untuk memulakan laluan VTL melalui jalan laut, mungkin antara terminal feri Tanah Merah di Singapura dengan Desaru di Johor dan kemudian memperluaskan VTL udara bagi meliputi destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

"Tentu sekali, semua ini mengikut perkembangan COVID-19 kerana kami sedang menantikan dengan penuh debaran tentang sifat Omicron COVID-19 dan bagaimana ia akan bertindak," kata Encik Lee.

"Namun sekalipun jika Omicron menjejas rancangan ini, matlamat kami tetap untuk membuka lebih banyak sempadan antara Singapura dengan Malaysia dan saya yakin selepas satu tempoh masa, kita dapat mencapai kemajuan lanjut lanjut."

Negara-negara seluruh dunia sedang bergegas untuk membendung varian Omicron yang baru itu di tengah-tengah laporan bahawa ia kemungkinan lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta. Sesetengah negara juga menutup sempadan kepada pelawat asing atau mengetatkan langkah-langkan sekatan.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata pada Isnin bahawa pihak berkuasa mengesan satu kes COVID-19 menerusi ujian pantas antigen di pintu masuk Johor.

Meskipun begitu, Encik Lee berkata di Istana bahawa laluan VTL akan membantu penduduk yang bekerja di kedua-dua negara untuk bersatu semula dengan orang tersayang dan mengukuhkan jalinan ekonomi dan perniagaan.

"Kami akan mulakan VTL dengan jumlah yang kecil dan ia akan memakan masa sebelum kita dapat kembali ke tahap perjalanan sebelum COVID," katanya.

"Namun kami akan teruskan selangkah demi selangkah dan memastikan jika keadaannya bertambah baik, lebih ramai orang akan dibenarkan melakukan perjalanan."

Encik Ismail Sabri juga berkata pembukaan semula sempadan antara Singapura dengan Malaysia adalah penting untuk memulakan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang akan memanfaatkan penduduk dari kedua-dua negara.

Encik Lee berkata beliau mengalu-alukan untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama bersama Malaysia serta menjalin hubungan erat bersama Encik Ismail Sabri.

"Singapura dan Malaysia merupakan jiran rapat dan berkongsi sejarah bersama. Ekonomi kami saling berhubung kait. Penduduk kita berkongsi kenangan, ikatan persaudaraan dan persahabatan yang kuat," katanya.

"Jadi, menutup sempadan menjejas teruk kedua-dua negara." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan