Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, M'sia laksanakan aturan lawatan kecemasan sakit tenat dan kematian mulai 17 Mei

Dr Balakrishnan dan Encik Hishammuddin bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha menyambung semula perjalanan penting rentas sempadan secara bertahap-tahap dan selamat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 May 2021 06:14PM Dikemas Kini : 02 May 2021 10:35PM

SINGAPURA: Satu skim perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura atas sebab-sebab ihsan seperti kematian dan lawatan bagi menziarahi insan tersayang yang sakit tenat akan dilaksanakan mulai 17 Mei.

Ini disahkan menerusi satu kenyataan bersama oleh Menteri Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya Hishammuddin Hussein hari ini (2 Mei) menyusuli lawatan rasmi dua hari oleh Encik Hishammuddin ke Singapura.

Kedua-dua menteri bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha menyambung semula perjalanan penting rentas sempadan secara bertahap-tahap dan selamat, menurut kenyataan itu.

"Untuk mencapai matlamat itu, kedua-dua menteri bersetuju dengan prosedur-prosedur dan syarat-syarat kemasukan bagi tujuan lawatan kecemasan atas sebab kematian atau sakit tenat antara Singapura dengan Malaysia. Persetujuan ini menyediakan rangka kerja untuk memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara atas sebab ihsan dan kecemasan," menurut kedua-dua menteri.

"Perincian prosedur dan syarat-syarat kemasukan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara masing-masing, iaitu Jabatan Imigresen Malaysia dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA). Aturan itu akan dilaksanakan mulai 17 Mei," tambah mereka.

Bercakap kepada media di Singapura hari ini, Dr Balakrishnan berkata skim itu "sangat diperlukan disebabkan jalinan hubungan meluas antara Malaysia dengan Singapura".

"Ibu bapa, datuk dan nenek, pakcik, makcik, sepupu dan apabila berlaku krisis keluarga, mereka mahu bersama-sama dan oleh itu, dengan menimbangkan hubungan istimewa antara rakyat Singapura dengan Malaysia, penting untuk dilaksanakan skim seperti ini," kata Dr Balakrishnan.

"Kami mengumumkan perincian tentang jenis-jenis ujian dan aturan kuarantin yang diperlukan untuk skim ini beroperasi," tambah beliau.

LAWATAN PM MUHYIDDIN YASSIN KE S'PURA DITANGGUH

Encik Hishammuddin, yang juga bercakap kepada media, menyatakan bahawa perancangan awal bagi Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan rasmi ke Singapura esok (3 Mei) sudah ditangguhkan.

Menurutnya ini atas dua sebab- iaitu tumpuan yang perlu diberikan Encik Muhyiddin ketika ini untuk menangani jumlah jangkitan COVID-19 yang meningkat baru-baru ini. Keadaan itu tidak menyediakan persekitaran yang selesa bagi kedua-dua Perdana Menteri untuk berbincang secara mendalam dan mencapai kata sepakat dalam perkara yang “kita tahu rakyat di kedua-dua negara Malaysia dan Singapura sudah lama nanti-nantikan”.

"Terdapat banyak perbincangan antara kedua-dua Perdana Menteri, kami berharap, (iaitu) Vivian dan saya, bahawa ia akan berkisar tentang usaha menyambung semula secara bertahap-tahap perjalanan rentas sempadan dan pergerakan antara rakyat kedua-dua negara," kata Encik Hishammuddin.

"Dan harapan kami adalah keputusan dapat dicapai di peringkat paling tinggi antara kedua-dua Perdana Menteri semasa lawatan PM Malaysia (ke Singapura) esok. Tetapi disebabkan keadaan COVID-19, ia tidak mewujudkan persekitaran yang selesa bagi kedua-dua Perdana Menteri untuk membincangkan perkara ini," tambah Encik Hishammuddin.

"Dan kami perlu menekankan bahawa keadaan amat mencabar bagi kedua-dua pihak untuk melakarkan huraian tetap dan selamat tentang pergerakan rentas sempadan ketika ini, dan juga menetapkan apa yang boleh kami beritahu kepada umum.

"Jadi kami berdua berpendapat, lebih baik kedua-dua Perdana Menteri bertemu pada satu tarikh lain, yang lebih sesuai, di mana kami boleh mengumumkan keputusan sangat penting dan sangat dinanti-nantikan oleh kedua-dua negara," kata Encik Hishammuddin.

USAHA IKTIRAF SIJIL KESIHATAN KEDUA-DUA NEGARA

Sementara itu, Dr Balakrishnan menekankan bahawa kedua-dua pemerintah sedang berusaha untuk mengiktiraf sijil kesihatan antara kedua-dua negara, dari segi rekod vaksinasi dan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR).

"Itu sedang diusahakan di peringkat teknikal sekali lagi semua ini persiapan bagi masa depan, apabila keadaan bertambah baik di Malaysia dan Singapura dan perjalanan boleh dilonggarkan lagi berbanding sekarang," tekan Dr Balakrishnan.

Encik Hishammuddin juga berkata kedua-dua pihak membincangkan untuk sama-sama mengiktiraf sijil vaksinasi secara digital menerusi aplikasi yang digunakan di negara masing-masing - iaitu TraceTogether dan MySejahtera.

"Pengiktirafan bersama bagi sijil vaksinasi dan MySejahtera, TraceTogether perlu disesuaikan dan kami berharap apabila tiba masanya kedua-dua Perdana Menteri dapat bertemu, sama ada pada hujung tahun semasa pertemuan tidak rasmi mereka atau mungkin jika masa dan keadaan mengizinkan, lebih awal dari itu, bagi PM Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke Singapura," kata Encik Hishammuddin.

Dalam kenyataan bersama itu juga, kedua-dua menteri itu menyambut baik persetujuan oleh Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia "mengenai proses pengesahan teknikal secara bersama bagi sijil-sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh Singapura dan Malaysia".

Mereka juga bersetuju bahawa Singapura dan Malaysia akan terus mencatat kemajuan dalam program vaksinasi masing-masing untuk memberi vaksin kepada penduduk termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura dan warga Singapura yang menetap di Malaysia.

"Kedua-dua menteri bersetuju untuk terus mengadakan rundingan lanjut berhubung langkah-langkah pembukaan semula sempadan, yang bergantung kepada keadaan COVID-19 di kedua-dua negara serta kesihatan dan keselamatan rakyat di kedua-dua negara," tambah kenyataan itu.

Kedua-dua menteri juga bersetuju tentang pentingnya untuk mengadakan Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia yang ke-10 di Singapura "lewat tahun ini, sebaik sahaja keadaan pandemik bertambah baik", menurut kenyataan itu.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan