S'pura, M'sia akan saling iktiraf sijil vaksinasi COVID-19; 'pulihkan secara bertahap' perjalanan rentas sempadan
Singapura dan Malaysia saling menegaskan komitmen untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 antara satu sama lain, dengan tujuan untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa akan datang.

Kenderaan di Koswe Woodlands pada 17 Ogos 2020. (Gambar: Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Singapura dan Malaysia saling menegaskan komitmen untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 antara satu sama lain, dengan tujuan untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa akan datang.
"Butiran operasi Pengiktirafan Timbal Balik Sijil Vaksinasi antara Malaysia dan Singapura, termasuk syarat-syarat terperinci, protokol kesihatan, dan proses permohonan yang diperlukan untuk keluar masuk ke Malaysia dan Singapura akan dibincangkan dan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak," menurut kementerian ehwal luar kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (23 Mac).
Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Hishammuddin Hussein di Putrajaya pada Selasa (23 Mac).
"Kedua-dua menteri mengadakan perbincangan yang membina mengenai program vaksinasi di negara masing-masing dan bagaimana ia akan memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara kelak," menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua negara jiran itu turut menegaskan lagi komitmen untuk meneruskan program vaksinasi COVID-19 bagi memastikan para penduduk jangka panjang divaksin, termasuk warga Malaysia yang tinggal di Singapura dan juga rakyat Singapura yang menetap di Malaysia.
Singapura dan Malaysia kekal komited untuk "memulihkan secara bertahap-tahap" perjalanan rentas sempadan bagi kumpulan-kumpulan pelawat lain, selain laluan hijau timbal balik dan aturan perjalanan berkala, menurut kenyataan itu.
Singapura dan Malaysia juga akan saling memantau keadaan COVID-19 di kedua-dua negara dan memastikan "kesihatan awam dan keselamatan penduduk di kedua-dua negara sentiasa terpelihara".
Kedua-dua menteri turut berbincang untuk mengadakan Retreat Pemimpin ke-10, dengan Singapura menjadi tuan rumah bagi pertemuan tahun ini dan kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyambung semula hubungan dua hala secara bertemu muka.
Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua menteri berharap dapat "mengukuhkan kerjasama untuk memulihkan ekonomi daripada kesan pandemik global".
Dr Balakrishnan yang melakukan lawatan ke Brunei pada Isnin kembali ke Singapura selepas lawatan tersebut sebelum melakukan perjalanan ke Malaysia pada Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.