Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura larang pengedaran buku kartun politik dengan lukisan Nabi Muhammad

Pihak berkuasa melarang penjualan atau pengedaran sebuah buku kartun politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Nov 2021 08:45PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 09:09PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa melarang penjualan atau pengedaran sebuah buku kartun politik.

Buku itu mengandungi imej yang menyinggung perasaan penganut beberapa agama di sini.

Buku itu berjudul "Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship".

Ia ditulis ahli akademik Cherian George dan pelukis Sonny Liew.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengenal pasti hampir 30 imej yang tidak dapat diterima.

Ia termasuk lukisan kartun Nabi Muhammad yang diterbitkan semula dari majalah Perancis, Charlie Hebdo, yang pernah mencetuskan tunjuk perasan dan bantahan ganas di beberapa buah negara.

Terdapat juga imej yang ofensif mengenai agama Hindu dan Kristian.

Pengedar buku tersebut, Alkem Company meminta pihak IMDA untuk menyemaknya.

Semasa menjawab pertanyaan media, pihak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyokong larangan terhadap buku tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini, Muis menyatakan pihaknya juga sudah menyemak buku itu dan mendapati ia mengandungi beberapa lukisan kartun Nabi Muhammad serta kartun yang berbaur diskriminasi terhadap golongan Muslim, menghina Al-Quran dan merendahkan agama Islam.

"Imej-imej ini menyinggung perasaan ramai Muslim. Kandungan sedemikian yang memberi gambaran negatif terhadap Islam dan Muslim, atau mana-mana agama lain tidak boleh diterima, lebih lagi dalam sebuah masyarakat berbilang agama seperti Singapura," menurut Muis.

Dalam pada itu, Menteri Negara bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Faishal Ibrahim turut menegaskan bahan-bahan bersifat provokatif tidak diedarkan di Singapura demi menjaga semangat kemasyarakatan di Singapura.

Dalam catatan Facebook hari ini (1 Nov), Profesor Madya Faishal berkata buku tersebut dianggap tidak sesuai oleh IMDA di bawah Akta Penerbitan Tidak Diingini (UPA) disebabkan ia mengandungi imej-imej tertentu.

"Kita perlu berhati-hati tidak mengedarkan bahan-bahan bersikap provokatif di Singapura - tidak kira agama atau kaum yang disasarkan dan bentuk bahan digunakan - supaya melindungi semangat kemasyarakatan kita.

"Kami menjamin kebebasan agama dan tidak membenarkan sebarang kumpulan agama untuk dihina," kata Dr Faishal.

"Kita harus menghargai keharmonian yang dipupuk sejak bertahun-tahun, dengan membina jambatan dan memperdalam pemahaman antara masyarakat,"ujarnya. 

Sumber : CNA/IQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan