S'pura lapor 517 kes tempatan baru COVID-19; kelompok baru di bangunan DHL Tampines
Singapura melaporkan 517 jangkitan baru COVID-19 dalam negeri setakat 12.00 tengah hari Ahad (12 Sep), merangkumi 454 kes dalam masyarakat dan 63 penghuni dormitori pekerja hijrahan.
(Petikan skrin: Google Maps)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 517 jangkitan baru COVID-19 dalam negeri setakat 12.00 tengah hari Ahad (12 Sep), merangkumi 454 kes dalam masyarakat dan 63 penghuni dormitori pekerja hijrahan.
Antara kes-kes tempatan, 137 adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Satu kelompok baru yang besar, dengan 28 kes kesemuanya, turut dikenal pasti di bangunan Pusat Rantaian Bekalan Serantau DHL di Tampines.
Lagi 10 kes dikaitkan dengan kelompok Chinatown Complex, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kelompok itu sebanyak 81.
Jumlah jangkitan tempatan pada Ahad adalah lebih rendah berbanding 550 yang dicatatkan pada Sabtu, kemerosotan dua hari berturut-turut.
Terdapat juga tiga kes import pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Singapura sebanyak 520. Satu kes import dikesan sejurus tiba di sini, manakala dua jatuh sakit semasa menjalani tempoh pengasingan.
Kini terdapat 780 kes COVID-19 yang sedang dirawat di hospital, kebanyakan daripada mereka sedang beransur pulih.
Daripada jumlah tersebut, 54 sakit teruk dan memerlukan sokongan oksigen dan tujuh dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi.
Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 50 adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Sepanjang 28 hari yang lalu, peratusan kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami gejala ringan adalah 98.3 peratus.
Daripada 84 kes yang memerlukan bantuan oksigen, 43 tidak divaksin sepenuhnya. Empat daripada enam orang di ICU tidak divaksin sepenuhnya.
Tiada satu pun dalam kalangan empat kes yang meninggal dunia sepanjang 28 hari lalu divaksin sepenuhnya, tambah MOH.
KELOMPOK JANGKITAN DIPANTAU
MOH menyatakan ia sedang "memantau dengan teliti" 16 kelompok besar dengan kes-kes baru - termasuk kelompok di Chinatown Complex - yang dibendung menerusi pengesanan, ujian dan pengasingan.
Kelompok Chinatown Complex kini mempunyai 81 kes setelah lagi 10 kes baru dikaitkan dengannya.
Terdapat 28 kes di kelompok baru yang dikenal pasti di bangunan DHL di 1 Greenwich Drive.
Kelompok melibatkan tapak binaan di 30 Sunview Way kini meningkat kepada 140 kes, dengan 20 kes baru ditambah pada Ahad. Kesemua kes baru sudahpun dikuarantin, menurut MOH.
(Sumber: MOH)
KEMAS KINI VAKSINASI
Setakat Sabtu, 81 peratus penduduk sudah lengkap menjalani rejimen penuh vaksinasi atau menerima dua dos vaksin COVID-19. 84 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Lebih 8.85 juta dos vaksin COVID-19 diberikan di bawah program vaksinasi negara, meliputi sekitar 4.55 juta orang, termasuk 4.42 juta yang sudah selesai kedua-dua suntikan dos vaksin.
Lagi 176,820 dos vaksin lain yang diiktiraf oleh senarai kegunaan darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah diberikan kepada 86,597 orang.
Setakat sehingga Ahad, Singapura melaporkan 71,682 kes jangkitan COVID-19 kesemuanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.