Skip to main content

Singapura

S'pura lapor 43 jangkitan baru COVID-19, kesemuanya kes import

Sebanyak 43 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Jumaat (2 Apr), menurut laporan awal Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 43 jangkitan baru COVID-19, kesemuanya kes import

Pelancong di dalam terminal Lapangan Terbang Changi pada 11 Sep 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 02 Apr 2021 03:49PM Dikemas Kini : 02 Apr 2021 11:12PM

SINGAPURA: Sebanyak 43 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Jumaat (2 Apr).

Ia merupakan jumlah kes harian tertinggi dicatatkan sejak 30 Januari, apabila 58 kes COVID-19 dilaporkan, terdiri daripada 55 kes import dan tiga jangkitan tempatan.

Kesemuanya kes import, dengan tiada jangkitan tempatan baru dikesan buat hari kedua berturut-turut, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

PENDUDUK TETAP AWALNYA DIUJI NEGATIF

Antara kes import yang dilaporkan adalah seorang penduduk tetap yang pulang dari India. Wanita itu, yang dikenali sebagai Kes 61480, tiba pada 17 Mac dan menjalani Notis Jangan Keluar Rumah di sebuah kemudahan khusus. Ujian semasa ketibaan yang dijalaninya pada 17 Mac didapati negatif COVID-19.

Pada 20 Mac, wanita berusia 46 tahun itu dikuarantin kerana dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 61047 semasa dalam penerbangan ke Singapura. Ujian yang dilakukan ke atasnya semasa kuarantin pada 21 dan 30 Mac kembali negatif COVID-19.

MOH menyatakan tempoh kuarantinnya tamat pada 31 Mac lalu dan wanita itu pulang ke rumah. Beliau tidak keluar dari rumah sehingga mendapatkan rawatan perubatan bagi masalah kesihatan yang tidak berkait koronavirus pada 1 April.

"Walaupun tidak menunjukkan gejala, beliau diuji lagi, dan kali ini hasilnya positif COVID-19 dan beliau dimasukkan ke hospital. Hasil ujian serologinya belum selesai. Memandangkan sejarah perjalanannya dan pendedahan kepada satu kes COVID-19 baru-baru ini dalam penerbangannya, kami telah mengklasifikasikan ini sebagai kes import," jelas MOH.

2 KES DARI PAPUA NEW GUINEA IKUTI ATUR CARA DIKAWAL

Terdapat juga dua pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Papua New Guinea pada 27 Mac untuk projek kerja di Singapura - seorang lelaki berusia 54 tahun (Kes 61461) dan seorang lelaki 30 tahun (Kes 61470).

Kedua-duanya diuji negatif COVID-19 semasa tiba di Singapura dan terus diasingkan di kemudahan khusus sehingga mereka diuji negatif lagi pada 29 Mac.

"Selepas itu mereka mengikuti jadual atur cara terkawal, yang sebahagian besarnya terbatas ke tempat kerja dan tempat tinggal mereka," kata MOH.

Pada 30 Mac, mereka dikuarantin kerana dikenali sebagai kontak rapat Kes 61360 semasa penerbangan ke Singapura. Kes 61461 mengalami batuk pada 30 Mac sementara Kes 61470 tidak menunjukkan gejala.

Mereka diuji bagi COVID-19 pada 31 Mac dan dibawa ke hospital berasingan, dengan hasil ujian mereka kembali positif pada keesokan hari.

"Hasil ujian serologi mereka belum selesai. Memandangkan sejarah perjalanan mereka dan pendedahan kepada kes COVID-19 semasa penerbangan mereka, kami telah mengklasifikasikan kes ini sebagai kes import," menurut MOH.

5 PEMBANTU RUMAH MIGRAN ANTARA KES IMPORT

Jangkitan import lain yang dilaporkan pada Jumaat termasuk seorang warga Singapura dan empat penduduk tetap yang pulang dari Jerman, India dan United Kingdom.

Tiga adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari India dan Myanmar sementara tiga adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India dan Filipina.

Lagi 25 adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Filipina, di mana lima daripadanya adalah pembantu rumah migran.

Baki empat kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek. Tiga daripada mereka tiba dari Indonesia dan India untuk projek kerja di Singapura sementara seorang lagi dari Indonesia untuk melawat anggota keluarganya yang merupakan penduduk tetap.

KES MASYARAKAT MENINGKAT

MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat telah meningkat kepada dua kes pada minggu lalu berbanding satu kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes yang tidak berkaitan dalam masyarakat juga meningkat dari satu kes pada minggu sebelumnya menjadi dua kes pada minggu lalu.

Dalam kalangan 185 kes yang disahkan dari 27 Mac hingga 2 April, seramai 61 kes telah diuji positif ujian serologi mereka sementara 90 daripadanya diuji negatif. Sebanyak 34 keputusan ujian serologi belum selesai.

Lagi 15 pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah mereka yang sembuh di Singapura seramai 60,176.

Terdapat 40 kes masih dirawat di hospital. Sebilangan besar daripadanya stabil atau beransur pulih, manakala seorang berada di unit jagaan rapi. Lagi 204 diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Sehingga Jumaat, Singapura melaporkan 60,450 kes COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita