Skip to main content

Singapura

S'pura lapor 4 kes tempatan COVID-19; berkait kelompok CGH, Henderson Crescent

Jumlah kes COVID-19 yang tidak terhubung kait dalam masyarakat merosot kepada dua kes minggu lalu daripada 18 kes pada minggu sebelumnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 4 kes tempatan COVID-19; berkait kelompok CGH, Henderson Crescent

Gambar fail CGH (Gambar: Facebook/Hospital Besar Changi)

Diterbitkan : 03 Jul 2021 11:22PM Dikemas Kini : 03 Jul 2021 11:25PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan empat jangkitan tempatan baru COVID-19 pada Sabtu (3 Jul), semuanya berhubung kait dengan kes terdahulu.

Keempat-empat kes tersebut sudahpun dikuarantin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dua kes baru berhubung kait dengan kelompok di Blok 105 Henderson Crescent, menjadikan jumlah jangkitan dalam kelompok itu kepada 20 orang.

Lagi dua kes pula dikaitkan dengan kelompok di Hospital Besar Changi, yang kini mempunyai 18 kes.

Dua kelompok diisytihar tamat setelah tiada lagi kes dikaitkan dengannya selama 28 hari lalu, tambah MOH. Kelompok-kelompok tersebut adalah kelompok NTUC Foodfare di 308 Anchorvale Road dengan jangkitan pertama dilaporkan pada 29 Mei, dan kelompok Kes 63922 dengan jangkitan pertamanya dilaporkan pada 1 Jun.

Kini masih ada 26 kelompok aktif di Singapura, setiap satu dengan antara tiga hingga 93 jangkitan.

Kelompok-kelompok aktif COVID-19 setakat 3 Jul 2021 (Sumber: MOH)

Kelompok-kelompok aktif COVID-19 setakat 3 Jul 2021 (Sumber: MOH)

Terdapat juga tiga kes import yang telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan semasa ketibaan.

Salah satu kes dikesan sebaik tiba di sini, manakala dua diuji positif semasa tempoh SHN atau pengasingan.

Tidak ada jangkitan baru yang dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan tujuh kes baru COVID-19 hari ini, jumlah harian sejak 9 Jun.

KES TANPA HUBUNG KAIT MEROSOT

Jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 37 kes pada minggu lalu,berbanding 92 kes pada minggu sebelumnya kata MOH.

Jumlah jangkitan yang tidak berhubung kait dalam masyarakat juga merosot dari 18 kes pada dua minggu sebelumnya kepada dua kes pada minggu lalu.

Jumlah purata bergerak tujuh hari bagi semua kes masyarakat berhubung kait dan semua kes dalam masyarakat yang tidak berhubung kait masing-masing adalah 5.0 dan 0.3.

Sebanyak 113 pesakit masih berada di hospital. Sembilan daripadanya adalah kes serius yang memerlukan bantuan pernafasan oksigen, sementara dua berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Sepanjang 28 hari lalu, terdapat 23 kes tempatan yang memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Dalam kalangan kes-kes itu, 20 tidak divaksinasi sementara tiga mendapat dos pertama.

Singapura sudah mengagihkan lebih 5.6 juta dos vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi nasional setakat Jumaat. Lebih 2.1 juta orang sudah menyelesaikan rejim vaksinasi mereka.

Setakat Sabtu, Singapura melaporkan 62,606 kes COVID-19 kesemuanya dengan 36 meninggal dunia akibat penyakit itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita