S'pura lapor 34 kes baru COVID-19; 7 jangkitan dalam masyarakat, 2 penghuni dormitori
Sebanyak 34 kes baru jangkitan COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari tadi (1 Mei). Menurut kemas kini awal Kementerian Kesihatan (MOH), sembilan daripada kes itu adalah jangkitan tempatan.

Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Petikan dari Google Maps)
SINGAPURA: Sebanyak 34 kes baru jangkitan COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari tadi (1 Mei). Menurut kemas kini awal Kementerian Kesihatan (MOH), sembilan daripada kes itu adalah jangkitan tempatan.
Daripada jumlah itu, tujuh merupakan kes jangkitan dalam masyarakat. Tiga daripadanya dikaitkan dengan Kes 62541, melibatkan jururawat wanita Filipina berusia 46 tahun di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang disahkan positif pada 27 April lalu. Kes baru itu dikesan daripada ujian proaktif yang dijalankan ke atas pesakit serta kakitangan di TTSH, kata MOH.
Ini bermakna terdapat 16 kes yang dikaitkan dengan TTSH.
Baki dua lagi kes melibatkan penghuni di dormitori.
Selain itu, terdapat 25 kes import dan kesemuanya diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik sahaja mereka tiba di Singapura.
Butiran kes baru akan didedahkan malam ini, tambah MOH.
Pasukan bertindak COVID-19 pada Jumaat mengumumkan Singapura tidak lagi membenarkan masuk atau singgah pemegang pas jangka panjang dan pengunjung jangka pendek yang telah ke Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka dalam tempoh dua minggu lalu.
Sekatan itu bermula 2 Mei.
Di dalam negeri pula, MOH menegaskan individu seharusnya mengehadkan interaksi sosial memandangkan jumlah kes dalam masyarakat yang meningkat.
Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat kepada 35 pada minggu lalu daripada 10 pada minggu sebelumnya.
Setakat Sabtu, Singapura mencatatkan sebanyak 61,179 kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.